KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berada di Malaysia bagi membantu rundingan damai peringkat tertinggi antara Kemboja dan Thailand yang dijadual berlangsung pada Isnin dalam usaha mencapai gencatan senjata segera, kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio.
“Pegawai Jabatan Negara berada di Malaysia bagi menyokong usaha damai ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Jabatan Negara AS.
Rubio berkata beliau dan Presiden Donald Trump terus berhubung dengan rakan sejawatan masing-masing dari kedua-dua negara dan sedang memantau situasi dengan teliti.
“Kami mahu konflik ini berakhir secepat mungkin,” katanya.
Pada Ahad, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai masing-masing mengesahkan kehadiran mereka ke Putrajaya bagi mencari jalan ke arah gencatan senjata serta-merta ekoran pertempuran berterusan di sempadan Kemboja-Thailand.
Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN ketika ini dan akan diadakan di Putrajaya pada petang Isnin.
Malaysia kini memegang Jawatan Pengerusi ASEAN bagi 2025, menjadikannya kali kelima negara ini menerajui kumpulan serantau itu selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Peningkatan ketegangan tercetus pada 24 Julai, dengan pertempuran bersenjata dilaporkan berlaku di kawasan sempadan utara Kemboja hingga mengakibatkan kematian melibatkan kedua-dua belah pihak.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula meningkat sejak 28 Mei susulan konfrontasi tentera di kawasan sempadan berhampiran Preah Vihear yang meragut nyawa seorang tentera Kemboja.
Kedua-dua negara jiran itu telah lama berselisih berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan dan terus menjadi punca ketegangan serta tekanan diplomatik.
-- BERNAMA