Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI (Sejahtera MADANI) menandakan permulaan baharu dalam sejarah keadilan sosial negara yang menyatukan kekuatan dasar, ketelitian data dan keikhlasan pelaksana demi menoktahkan kemiskinan secara bermaruah dan berkesan berteraskan nilai serta budaya tempatan, kata ahli akademik.
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Zainal Abidin Sanusi berkata pendekatan melalui Sejahtera MADANI bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya satu pendekatan transformasi yang menyentuh struktur, emosi dan kemanusiaan rakyat secara menyeluruh.
"Sejahtera MADANI bukan sekadar satu lagi dasar kebajikan. Ia adalah pendekatan transformasi yang berpotensi menyusun semula cara kita memahami dan menangani kemiskinan, bukan hanya angka statistik tetapi sebagai realiti kehidupan yang memerlukan perubahan sistemik dan penyatuan strategi," katanya kepada Bernama.
Zainal Abidin yang juga Pengarah Pusat Sejahtera untuk Kelestarian dan Kemanusiaan UIAM berkata kekuatan utama Sejahtera MADANI ialah keupayaannya menyatukan pelbagai program bantuan seperti Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Amanah Ikhtiar dan Tekun dengan sistem sokongan sedia ada seperti eKasih dan MyKasih yang sebelum ini kurang bersepadu.
"Dengan pendekatan Sejahtera MADANI, kita kini melihat satu penyelarasan struktur lebih jelas khususnya melalui pendekatan berasaskan Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) disatukan dengan empat fokus utama iaitu pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan," katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan kemiskinan sebagai masalah struktur dan bukan semata-mata kekurangan pendapatan selari dengan prinsip inklusiviti dan keadilan sosial yang menjadi teras Malaysia MADANI.
Zainal Abidin turut mengalu-alukan penekanan terhadap peranan pelaksana di peringkat daerah dan komuniti memandangkan banyak program terdahulu gagal bukan kerana kelemahan dasar, tetapi disebabkan tadbir urus mikro yang longgar dan data tidak dikemas kini.
"Sejahtera MADANI berpotensi membina kapasiti pelaksana akar umbi sebagai pengupaya pembangunan, bukan sekadar pengagih bantuan. Ia juga mengintegrasikan pelbagai program seperti Sekolah Angkat MADANI, Kampung Angkat MADANI, Komuniti@UniMADANI dan Bakti MADANI dalam satu ekosistem yang saling mengukuh,” katanya.
Inisiatif itu turut memperkenalkan sistem pemantauan impak yang lebih telus dan responsif terhadap perubahan sosioekonomi isi rumah, sekali gus menuntut transformasi budaya pelaksanaan bukan hanya penyusunan semula dasar.
Zainal Abidin menegaskan keperluan pemetaan semula kawasan miskin tegar bukan hanya berdasarkan angka statistik makro, tetapi juga penilaian mikro komuniti yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
Beliau menyambut baik langkah kerajaan menambah baik sistem data eKasih sebagai asas penting bagi memastikan keadilan pengagihan dan ketepatan bantuan, memandangkan kemiskinan juga berkait rapat dengan akses pendidikan, kesihatan mental, kebergantungan bantuan dan ketiadaan suara dalam proses pembangunan.
"Sejahtera MADANI menawarkan pendekatan holistik dan berpandangan jauh, termasuk pembangunan jati diri dan literasi kewangan dalam kalangan komuniti miskin," katanya.
Zainal Abidin yang terlibat secara langsung dalam program Sekolah Angkat dan Kampung Angkat turut menyeru agar semua inisiatif di bawah jenama MADANI disatukan secara strategik dalam kerangka besar Sejahtera MADANI untuk mengelakkan pertindihan dan silo pelaksanaan.
"Kita perlukan pelan pelaksanaan menyeluruh, disokong ekosistem data, pelaksana dan pemantauan bersama," katanya.
Beliau berkata kejayaan menyeluruh Sejahtera MADANI harus didukung oleh komitmen politik yang konsisten, pelaksanaan cekap dan integriti tinggi serta kesediaan untuk mengubah budaya kerja ke arah pendayaan rakyat.
Sejahtera MADANI dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lepas berjaya mengumpul dana lebih RM120 juta dan ia merupakan komitmen kerajaan untuk membasmi kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.
Program itu merupakan inisiatif nasional diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih.
-- BERNAMA