GEORGE TOWN, 28 Julai (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Penganugerahan itu disampaikan dalam Istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 di Dewan Sri Pinang di sini, sebagai menghargai jasa dan sumbangan Tengku Zafrul dalam memperkukuh ekonomi negara serta menarik pelaburan strategik khususnya ke Pulau Pinang.
“Saya amat berterima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang atas penganugerahan ini. MITI akan terus berusaha memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab pelaburan dan perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas istiadat berkenaan.
Tengku Zafrul antara tokoh utama dalam merancakkan sektor pelaburan dan perdagangan Malaysia dan di bawah kepimpinan beliau, Pulau Pinang terus berkembang sebagai hab utama industri teknologi tinggi dan semikonduktor di rantau ini.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Perakaunan dari Universiti Bristol serta Ijazah Sarjana Kewangan dan Pengurusan dari Universiti Exeter, United Kingdom.
Hari kedua istiadat turut menyaksikan 389 individu lain menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri termasuk enam penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N), dua penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N), dan 29 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N).
-- BERNAMA