IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Perak berharap lebih banyak sesi libat urus diadakan bagi memberikan penjelasan berterusan kepada penggiat industri berhubung peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan pada 1 Julai lepas.
Timbalan Pengerusi FMM Perak Mark Chan Chow Loong berkata langkah itu penting memandangkan peluasaan skop SST membabitkan lebih 3,000 barangan tambahan sekali gus menimbulkan banyak persoalan teknikal dalam kalangan pengilang.
“Seperti yang diketahui, peluasan SST ini baru sahaja diumumkan, oleh itu masih banyak syarikat atau pengilang yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai cara pelaksanaan serta impaknya terhadap kos pengeluaran.
“Jadi, sesi ini sangat bermanfaat kerana memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada pengilang, khususnya berkenaan senarai produk yang terlibat, permohonan pengecualian serta implikasi terhadap kos pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Special Coffee Series: SST Expansion di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Terdahulu, sebanyak 450 pemain industri atau pengilang dalam pelbagai sektor di seluruh Perak menghadiri sesi berkenaan.
Chan berkata meskipun peluasan SST ini memberikan implikasi kepada kos bahan mentah, kesannya berbeza mengikut jenis produk dan komposisi bahan mentah yang digunakan.
“Sebagai contoh dalam industri plastik, bahan mentah menyumbang antara 60 hingga 80 peratus daripada kos produk siap. Jadi, sebarang cukai tambahan yang dikenakan pasti memberikan kesan langsung kepada harga,” katanya.
Sementara itu, Redza Rafiq berkata sesi libat urus itu bukan penerangan biasa, malah merupakan sebuah platform strategik dan inklusif yang menyatukan penggubal dasar, agensi pelaksana serta komuniti perniagaan.
Kata beliau, usaha itu selari dengan misi PKNPk untuk menjadi pemudah cara serta penyelesai masalah bagi komuniti perniagaan, terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan mencabar.
“Kita tidak mahu wujud jurang maklumat antara dasar yang diumumkan dengan realiti pelaksanaannya di lapangan. Perkara ini bukan tentang cukai semata-mata, tetapi tentang kejelasan, keyakinan dan kesinambungan operasi perniagaan.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah, komunikasi dua hala juga perlu lebih pantas, terbuka dan responsif. Sebab itu kita adakan program seperti ini supaya dasar tidak hanya sampai ke telinga, tetapi juga sampai ke akar operasi syarikat dengan kefahaman yang tepat,” katanya.
-- BERNAMA