EKONOMI

LOJI JANA KUASA CCGT TANGANI ISU KETIDAKTENTUAN SOLAR, SOKONG MATLAMAT SIFAR BERSIH NEGARA

28/07/2025 03:59 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Loji jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) dijangka berperanan penting dalam menangani isu jurang grid kuasa dan ketidaktentuan tenaga solar, ketika Malaysia berusaha mencapai matlamat sifar bersih menjelang 2050, kata seorang pakar.

Ketua Jurutera Grid System Operator Malaysia Rofidah Mohamed berkata negara ini dikurniakan cahaya matahari yang banyak, membolehkan pengeluaran tenaga solar yang tinggi pada waktu siang dan mengurangkan kebergantungan kepada penjana konvensional.

“Bagaimanapun, jika tiba-tiba hujan atau awan menutupi cahaya matahari sehingga menjejaskan penjanaan tenaga solar, siapa yang akan mengisi kekurangan itu? Dalam keadaan inilah gas dari loji jana kuasa CCGT melakukan peranan penting kerana ia cukup fleksibel untuk menampung kekurangan tersebut dan menggantikan tenaga solar secara sementara.

“Menerusi loji turbin gas yang baharu, pengeluaran tenaga boleh meningkat daripada sifar kepada 100 peratus dalam masa 30 minit, menjadikannya amat berguna pada waktu malam, terutama apabila tiada cahaya matahari,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas CGN Energy International Co Ltd (CGNEI) 2025 di sini, Isnin.

Beliau menyuarakan harapan supaya loji jana kuasa CCGT akan terus melengkapi tenaga solar dalam grid, sejajar dengan kemajuan Malaysia ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Kita tidak mahu bergantung kepada arang batu kerana ia merupakan antara sumber tenaga yang paling mencemarkan. Jadi, kita akan berhenti daripada menggunakannya secara berperingkat. Gas, solar dan loji hidro besar akan kekal -- contohnya di Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Edra Power Holdings Sdn Bhd, menerusi kerjasama dengan pemegang sahamnya CGNEI, menganjurkan persidangan itu bertemakan “Empowering the Future through Collective Wisdom and Win-Win Collaboration”.

Acara itu menghimpunkan lebih 200 pihak berkepentingan utama dari 47 organisasi merangkumi China, Malaysia dan Korea Selatan untuk menggalakkan kerjasama industri dan merintis hala tuju ke arah masa depan tenaga yang lebih lestari dan inklusif bagi ASEAN.

Persidangan itu turut menampilkan kemajuan terkini CGNEI dalam penjanaan kuasa turbin gas, di samping mengukuhkan persefahaman industri, menggalakkan inovasi teknologi serta mempertingkatkan perkongsian antarabangsa dan pembangunan bakat bagi menyokong peralihan tenaga hijau dan rendah karbon.

Pengerusi dan Presiden Edra, Jiang Xin berkata pihaknya berada pada kedudukan baik untuk menyokong aspirasi sifar bersih Malaysia dengan menarik pelabur strategik dan kepakaran global.

“Kami gembira menjadi tuan rumah acara penting ini yang bukan sahaja menjadi platform untuk dialog dan perkongsian pengetahuan, malah juga bertindak sebagai pemangkin dalam mempercepat peralihan Malaysia kepada sistem tenaga rendah karbon yang mampan, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir dalam persidangan itu ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan