KUANTAN, 28 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meneruskan komitmen kelestarian jangka panjangnya melalui penganjuran Inisiatif Pemuliharaan Bakau dan Penyu di Pantai Chendor di sini Sabtu lepas, sempena sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa.
Bank Islam dalam kenyataan memaklumkan program tersebut merupakan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang serta mendapat sokongan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kemaman di bawah pengurusan Jabatan Tenaga Manusia dan pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
Menurut kenyataan itu, 150 sukarelawan termasuk warga Bank Islam, pelajar institusi pendidikan, peserta pemulihan Komuniti Intervensi Dadah serta masyarakat setempat mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman 3,000 anak pokok bakau dan melepaskan 100 anak penyu ke laut sebagai usaha pemuliharaan spesies marin yang kian terancam.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata inisiatif itu merupakan kesinambungan daripada lima projek pemuliharaan alam sekitar yang telah dijalankan Bank Islam sejak 2019.
“Aktiviti hari ini bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah nyata yang mampu membawa perubahan ke arah pemuliharaan alam sekitar demi masa depan generasi akan datang.
“Justeru, kami komited melaksanakan tanggungjawab ini selain menggalakkan penglibatan komuniti setempat termasuk sukarelawan daripada kalangan pelajar Adtec dan Maahad Tahfiz menangani isu alam sekitar termasuk perubahan iklim yang memberikan impak besar terhadap kualiti kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden MNS Noor Jehan Abu Bakar berkata kerjasama kali ketiga bersama Bank Islam dalam inisiatif pemuliharaan bakau dan penyu menunjukkan keserasian visi antara sektor korporat dan masyarakat dalam usaha melindungi alam sekitar.
“MNS percaya kolaborasi jangka panjang seperti ini mampu memberi impak positif dalam usaha memulihara ekosistem pesisir pantai selain memastikan kelangsungan hidup spesies marin yang semakin terancam akibat aktiviti manusia dan perubahan iklim,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, inisiatif itu juga untuk memperkasa komuniti tempatan dengan menyokong ekonomi setempat yang melibatkan pembelian anak pokok bakau dan telur penyu daripada nelayan berhampiran.
“Selaras dengan aspirasi negara untuk menanam sejuta pokok bakau menjelang 2030, usaha Bank Islam ini turut menyokong agenda menangani perubahan iklim dan hakisan pantai, khususnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA