KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) telah berjaya menerbitkan RM1.0 bilion Sukuk Kanan Murabahah di bawah Program Sukuk Murabahah RM10.0 bilionnya pada 25 Julai.
Terbitan itu menandakan tranche kesembilan di bawah Program Sukuk Murabahah RM10 bilion bank tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Islam berkata sukuk itu telah menerima maklum balas memberangsangkan daripada pelabur dengan nisbah bidaan tertinggi kepada terbitan sebanyak tiga kali ganda.
Menurut Bank Islam, Sukuk Kanan Murabahah menerima penarafan AA3/stabil oleh RAM Ratings Services Bhd dan menetapkan kadar keuntungan kompetitif 3.85 peratus setahun bagi tempoh tujuh tahun.
“Keuntungan akan digunakan untuk membiayai aktiviti perbankan Bank Islam, keperluan modal kerja dan tujuan korporat lain. Penggunaan dana juga adalah patuh syariah,” katanya.
Bank Islam merupakan penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan penasihat syariah kepada Program Sukuk Murabahah.
-- BERNAMA