Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini susulan dipengaruhi prestasi eksport minyak sawit Malaysia yang lemah pada Julai.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group Anilkumar Bagani berkata eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 25 Julai dianggarkan sebanyak 1,029,585 tan oleh Intertek Testing Services, turun 9.23 peratus daripada anggaran bagi tempoh 1 hingga 25 Jun.
“Sementara itu, AmSpec Agri Malaysia melaporkan eksport sebanyak 896,484 tan, mencatatkan penurunan sebanyak 15.22 peratus bagi tempoh yang sama,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran MSM ditutup lebih rendah pada Isnin susulan kebimbangan terhadap jangkaan peningkatan pengeluaran dan permintaan yang lebih lemah pada minggu-minggu akan datang.
Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas akibat penurunan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT).
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 dan paras rintangan pada RM4,350,” katanya.
Sewaktu penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 susut sebanyak RM71 kepada RM4,150 setiap tan, kontrak September 2025 merosot RM35 kepada RM4,223 setiap tan dan kontrak Oktober 2025 berkurang RM31 kepada RM4,242 setiap tan.
Kontrak November 2025 turun RM30 kepada RM4,253 setiap tan, Disember 2025 mengecil RM30 kepada RM4,260 setiap tan manakala Januari 2026 merosot RM27 kepada RM4,263 setiap tan.
Jumlah dagangan berkurang kepada 48,430 lot daripada 82,818 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka susut kepada 226,093 kontrak daripada 229,303 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan turun RM30 kepada RM4,200 setiap tan.
-- BERNAMA