AM

KPKM CADANG LAKSANA BANCI PERTANIAN BERSKALA PENDEK SECARA BERKALA

28/07/2025 09:34 PM

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencadangkan Jabatan Perangkaan (DOSM) melaksanakan banci pertanian berskala pendek secara berkala setiap dua hingga empat tahun bagi memastikan data pertanian sentiasa dikemas kini dan dasar kerajaan dapat diselaraskan secara lebih berkesan.

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata cadangan itu susulan dapatan Banci Pertanian 2024 yang membekalkan data lengkap bukan sahaja pada peringkat nasional, malah sehingga peringkat daerah di seluruh negara.

“Kita telah berbincang dengan DOSM bagaimana pelaksanaan bancian (Banci Pertanian) boleh dilakukan pada masa akan datang. Untuk dasar utama pada peringkat Persekutuan, kita perlukan statistik jangka panjang seperti lima ke 10 tahun.

“Namun, bagi tujuan pelaksanaan peringkat negeri dan daerah, data perlu dikemas kini lebih kerap. Maka, kita harap DOSM dapat laksanakan bancian berskala kecil secara berkala kerana banci berskala besar menelan kos yang tinggi,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata dapatan Banci Pertanian 2024 memberikan gambaran menyeluruh mengenai pola pertanian termasuk bilangan petani, jenis tanaman dan pemilikan tanah sehingga peringkat daerah.

“Kita kini ada data setempat, contohnya di Senaling, Kuala Pilah, kita tahu berapa banyak petani yang ada, jenis tanaman mereka dan jumlah hasilnya. Perkara ini membolehkan kerajaan negeri buat analisis jurang dan ketua kampung boleh bantu buat keputusan lebih tepat untuk tingkatkan hasil,” katanya.

Untuk rekod, banci pertanian dilaksanakan di negara ini secara berkala setiap 10 tahun bagi memastikan data asas sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan.

Banci Pertanian 2024 yang dijalankan DOSM menyediakan data asas mengenai profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi.

Data berkenaan digunakan dalam merangka dasar dan program jangka pendek dan panjang selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan.

Media baru-baru ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata survei pertanian jangka pendek juga akan dilaksanakan secara berkala mulai 2026 untuk memperkukuh ketersediaan data dan menyokong pemantauan berterusan sektor pertanian negara.

Mengulas dapatan lain daripada Banci Pertanian 2024, Isham berkata KPKM bercadang mewujudkan model baharu pengurusan ladang melalui penggabungan pemilik tanah dengan petani kecil di bawah satu koperasi atau persatuan bagi membolehkan bantuan yang disediakan kerajaan dapat diagihkan secara berkelompok sekali gus memaksimumkan manfaat bantuan berkenaan.

Misalnya pesawah yang kini berjumlah lebih 220,000 orang di seluruh negara dengan purata pemilikan dua hektar seorang, tetapi berkongsi jentera pertanian secara bergilir, Isham berkata sekiranya cadangan menggabungkan tanah milikan individu dan petani kecil dapat direalisasikan, maka pendapatan golongan itu dapat ditingkatkan.

Isham berkata pelaksanaan cadangan itu bergantung pada sokongan data yang tepat dan terkini serta kerjasama antara kerajaan Persekutuan, negeri dan komuniti petani setempat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan