JAKARTA, 29 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu menumpu ke arah membina ekonomi dalaman yang lebih bersepadu dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global pada hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi ucapan dasar mengenai ASEAN yang disampaikan di acara Sekretariat ASEAN, di sini, pada Selasa, Anwar, yang juga pengerusi perkumpulan itu berkata rantau ini memiliki pasaran yang dinamik dan besar dengan kira-kira 660 juta populasi.
"Potensinya amat besar, tetapi untuk merealisasikan sepenuhnya, kita perlu mengecilkan jurang pembangunan sedia ada dan menjalin hubungan ekonomi yang lebih kukuh dan saksama merentas negara anggota," kata beliau.
Menurut Anwar, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, ASEAN sekali lagi akan menunjukkan komitmen bersama untuk menambah baik aliran barangan tanpa halangan di rantau ini.
“Melalui usaha untuk mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif, kita mengambil langkah bermakna mewujudkan komuniti ekonomi ASEAN yang lebih lancar dan dinamik yang berfungsi untuk semua, bukan hanya untuk sesetengah pihak,” kata beliau.
Perdana menteri berkata Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah teras kepada visi ini kerana sebagai perjanjian perdagangan terbesar di dunia, ia mengukuhkan peranan ASEAN sebagai peneraju kerangka ekonomi serantau.
“Kami menjangkakan Mesyuarat Pemimpin RCEP ke-5 juga akan berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sekali gus memberikan peluang kepada kita untuk memastikan RCEP memberikan manfaat yang besar kepada perniagaan, pekerja dan komuniti kita,” kata Anwar.
Menurut beliau, dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan ASEAN dalam ekonomi global yang semakin kompetitif masih banyak yang perlu lakukan untuk memastikan perniagaan dapat beroperasi dengan penuh keyakinan dan kejelasan merentas sempadan kita.
Beliau berkata kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China adalah isyarat jelas bahawa ASEAN bersedia untuk membina hubungan baharu dan memanfaatkan perkongsian baharu.
Selain itu ia juga mencerminkan keazaman ASEAN untuk membentuk secara bersama masa depan yang berasaskan prinsip saling menghormati, berkongsi pertumbuhan dan kerjasama strategik.
Anwar berkata ekonomi digital akan menjadi pemacu utama fasa pertumbuhan ASEAN yang seterusnya.
Justeru, kata beliau, rantau ini sedang berusaha untuk memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN selain memodenkan perjanjian perdagangan sedia ada dengan rakan kongsi strategik termasuk China, India dan Korea Selatan.
Usaha ini mencerminkan kesediaan ASEAN untuk menerima perubahan dan meletakkannya di barisan hadapan dalam transformasi digital, kata beliau.
Menurut Anwar, ASEAN perlu menjadi agen perubahan – yang mempunyai kapasiti untuk membentuk peraturan dan norma global kekal terbuka, inklusif dan berpegang kepada prinsip keadilan.
Beliau berkata komitmen ASEAN terhadap multilateralisme kekal sebagai tunjang kepada kestabilan dan kemajuan bersama rantau itu.
"Sebagai perkumpulan yang berpandangan terbuka dalam dunia yang multipolar, ASEAN perlu terus meluaskan perkongsian globalnya. Mengeratkan hubungan strategik dengan pelbagai rakan bukan satu pilihan - ia adalah satu kemestian strategik,” kata beliau.
Anwar kini berada di Indonesia sempena lawatan kerja selama dua hari bagi Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13.
Terdahulu, Perdana Menteri disambut oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka di Jakarta, dan seterusnya kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan bersemuka bagi membincangkan pelbagai isu dua hala antara kedua-dua negara.
--BERNAMA