KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Oxford Innotech Bhd mencatat kemunculan pertama yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada harga 36 sen yang juga premium sebanyak tujuh sen atau 24 peratus lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 29 sen.
Firma kejuruteraan jitu yang berpangkalan di Pulau Pinang itu juga menyaksikan sejumlah 9.24 juta saham diniagakan pada pembukaan dagangan.
Pengarah Urusan Ng Thean Gin berkata penyenaraian itu menjadi platform untuk syarikat mengembangkan lagi kehadirannya, terutama dalam sistem binaan modular, elektrik dan elektronik serta sektor semikonduktor.
“Kami kini dalam proses membangunkan sebuah kemudahan baharu di Taman Sains Pulau Pinang dengan fasa pertama siap dua bulan lepas manakala fasa kedua akan bermula dalam suku pertama 2026.
“Pembangunan itu disasarkan siap dalam suku pertama 2027 dan memulakan operasi dalam suku ketiga pada tahun sama,” katanya pada sidang media bersempena dengan penyenaraian itu.
Fasa kedua itu melibatkan tambahan ruang pengeluaran seluas 67,722 kaki persegi, menjadikan keseluruhan kawasan pengeluarannya berkeluasan 192,896 kaki persegi.
Syarikat itu berjaya mengumpulkan sejumlah RM41.6 juta menerusi IPO itu dengan RM23.1 juta diperuntukkan bagi kilang baharu; RM11.2 juta bagi tujuan mesin dan pembiayaan semula; RM3.3 juta untuk modal kerja serta RM4 juta bagi perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Ditanya sama ada syarikat itu berhasrat melebarkan sayap ke luar negara, Ng berkata pihaknya tidak berhasrat memulakan operasi asing setakat ini.
Namun, syarikat itu sedang giat mendapatkan pelanggan antarabangsa menerusi penyertaan dalam pameran dan acara perdagangan.
NG berkata Oxford Innotech juga menjangkakan prestasi lebih baik pada tahun depan, didorong oleh tarif lebih stabil serta kemungkinan pelanggan meningkatkan perbelanjaan modal.
“Permintaan dalam bidang seperti pemanduan autonomi, pusat data dan kecerdasan buatan terus memacu pertumbuhan jangka panjang dalam sektor berkaitan. Berikutan itu, kami optimis dengan peranan kami dalam menyokong permintaan berkenaan,” katanya.
Prestasi kukuh yang dicatatkan syarikat itu juga menyusuli keuntungan sama diraih IPO lain di tengah-tengah pemulihan sentimen pelabur selepas beberapa penyenaraian kurang memberangsangkan di Pasaran ACE.
Menjelang penyenaraiannya, permintaan awam terhadap Oxford Innotech juga melebihi peruntukan sedia ada sebanyak tiga kali ganda.
-- BERNAMA