EKONOMI

BURSA MALAYSIA KEKALKAN UNJURAN UNTUNG SEBELUM CUKAI BAGI TAHUN KEWANGAN 2025 - CEO

29/07/2025 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mengekalkan sasaran keuntungan sebelum cukai (PBT) antara RM369 juta dan RM408 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 (tahun kewangan 2025). 

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Fad’l Mohamed berkata unjuran tersebut kekal dalam persekitaran mudah tunai yang kukuh daripada pasaran domestik dan pertumbuhan ekonomi yang stabil.

Katanya sasaran itu merupakan sebahagian daripada petunjuk prestasi utama Bursa Malaysia pada tahun tersebut dan menjangka pendapatannya daripada segmen derivatif dan hasil bukan dagangan yang kekal kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2025.

Fad’l berkata Bursa Malaysia menjangka pertumbuhan dua angka untuk hasil bukan dagangan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pelabur tempatan, terutamanya, perlu diberi perhatian. Saya difahamkan bahawa ramai pengurus dana pada masa ini memegang tunai. Data menunjukkan sehingga Mei, pengurus dana memegang kira-kira 11.5 peratus dalam bentuk tunai, paras tertinggi sejak Januari 2024.

“Kami berharap untuk melihat tahap aktiviti dagangan yang lebih baik apabila tunai itu digunakan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama 2025 hari ini.

Fad’l berkata prestasi lebih baik untuk tahun kewangan 2025 juga akan disokong oleh faktor yang menggalakkan seperti penilaian FBM KLCI yang menarik, pada masa ini berada pada diskaun sebanyak 17 peratus berbanding purata 10 tahun.

Beliau berkata Bursa Malaysia dijangka meraih 60 tawaran awam permulaan (IPO) sepanjang 2025, dengan jumlah permodalan pasaran IPO mencecah RM40.2 bilion.

Katanya langkah awal oleh Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas akan membawa kecairan tambahan kepada sistem kewangan dan FBM KLCI akan meningkat daripada paras semasa pada 1,530. 

Pada separuh pertama 2025, Bursa Malaysia mencatatkan 32 IPO, terdiri daripada enam dalam pasaran utama, 23 dalam Pasaran ACE dan tiga dalam Pasaran LEAP. 

Sementara itu, aktiviti dagangan di Bursa Malaysia dijangka pulih pada separuh kedua 2025, disokong oleh penggunaan modal daripada dana yang kini mempunyai paras tunai yang tinggi.

“Sebahagian besar daripadanya akan bergantung pada aliran modal. Bagi kami, jelas bahawa dana tersebut mempunyai sejumlah besar tunai. Oleh itu, mereka mahu menggunakan wang tersebut,” katanya.  

Beliau berkata Bursa Malaysia masih memegang konsensus purata nilai dagangan harian (ADV) tahunan sebanyak RM2.6 bilion.

Fad'l percaya dana asing akan kembali ke pasaran Malaysia berdasarkan penilaian semasa yang menawarkan permulaan yang menarik dan keperluan strategik yang jelas.

Katanya pada akhir tahun lepas, pengendali bursa itu menyaksikan dana asing mencari pasaran yang stabil.

“Terdapat banyak ketidaktentuan pada akhir tahun lepas termasuk pasaran ASEAN yang mencatatkan aliran keluar asing.

“Saya berpendapat sekarang adalah masa yang sesuai berdasarkan penilaian semasa untuk dana asing kembali,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan