AM

JERMAN IKTIRAF PERANAN MALAYSIA JADI PEMUDAH CARA KONFLIK THAILAND-KEMBOJA

29/07/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Jerman merakamkan penghargaan kepada Malaysia yang telah memainkan peranan aktif sebagai pemudah cara dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghargaan itu disampaikan oleh  Canselor Jerman  Friedrich Merz menerusi perbualan telefon lewat petang semalam.

"(Ini) satu pengiktirafan terhadap keupayaan diplomasi serantau dan komitmen Malaysia dalam mendukung keamanan serta kestabilan ASEAN.

"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memperkukuh perpaduan dan kestabilan serantau melalui pendekatan diplomasi, dialog dan prinsip kemanusiaan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, dalam perbualan itu, beliau dan Merz turut bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia-Jerman yang semakin kukuh, selain menyatakan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

"Kerjasama erat dengan rakan antarabangsa seperti Jerman amat penting dalam memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang berwibawa, progresif dan berprinsip," katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil mesyuarat khas dipengerusikan beliau di Putrajaya.

Mesyuarat tersebut dihadiri Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan