KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Steel Hawk Bhd, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) memperoleh kontrak bagi menyediakan perkhidmatan perancah untuk operasi EPOMS Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata SHESB diberikan kontrak pada 25 Julai, 2025, tetapi hanya memperoleh persetujuan bertulis daripada EPOMS hari ini bagi memaklumkan pengumuman kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.
Kata Steel Hawk, tempoh kontrak pula selama dua tahun bermula dari 25 Julai, 2025 hingga 24 Julai, 2027 dengan pilihan lanjutan selama satu tahun.
“Untuk penjelasan, kontrak ini berdasarkan permintaan (yang tidak mempunyai nilai kontrak tetap) dan syarikat dilantik oleh EPOMS untuk menyediakan perkhidmatan tertentu sepanjang tempoh kontrak tersebut iaitu apabila dan sekiranya perkhidmatan itu diperlukan,” katanya.
Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Steel Hawk bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2025.
-- BERNAMA