SUKAN

WARTAWAN NEGERI RAIH KEDUDUKAN TERATAS DALAM KEJOHANAN E-SIM RACING PERTAMA DI SARAWAK

02/08/2025 10:15 PM

KUCHING, 2 Ogos (Bernama) -- Sejumlah 17 wartawan daripada sembilan organisasi media di Sarawak berjaya menduduki mengungguli kedudukan teratas pada edisi sulung Initial M: Media SIM Racing Grand Prix yang berlangsung di sini hari ini.

Kejohanan itu merupakan inisiatif perintis bagi menggabungkan media, teknologi dan potensi korporat dalam arena e-sukan yang semakin berkembang di Sarawak, dianjurkan Metadise Electronic Sports Club (MESC) dengan kerjasama Hazel Communication and Solutions Sdn Bhd (HazelComms) serta Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).

MESC dan HazelComms dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa perlumbaan diadakan di Metadise Sim Racing di sini, manakala pusingan kelayakan telah menentukan tujuh pasukan elit yang akan mara ke Final Time Attack Round pada 30 Ogos ini, yang akan berlangsung di simulasi Litar Sepang bagi merebut gelaran utama.

“Acara ini menghimpunkan sembilan organisasi media dan 17 wartawan dalam peralihan dinamik daripada penceritaan tradisional kepada perlumbaan maya yang imersif, sekali gus menunjukkan potensi menarik dalam pemasaran, penjenamaan dan keterlibatan audiens,” menurut kenyataan itu.

Presiden MESC Afiq Fadhli Narawi berkata inisiatif itu bukan sahaja menampilkan kekuatan penglibatan secara imersif, malah membuka peluang kepada jenama-jenama korporat untuk meneroka sim racing sebagai platform interaktif yang berani dan inovatif.

“Apa yang dapat kita saksikan menerusi Initial M Sim Racing Grand Prix ialah media menerajui satu bentuk perlumbaan baharu, iaitu gabungan inovasi digital dengan impak sebenar terhadap audiens. Media telah memulakan momentumnya dan kini tiba masanya dunia korporat mengambil alih pengawalannya,” katanya.

Afiq Fadhli berkata pertandingan perintis ini meletakkan e-sim racing sebagai satu platform strategik yang menghubungkan para profesional media, membuka potensi baharu dalam penciptaan kandungan dan menggalakkan kolaborasi inovatif dalam industri.

Sementara itu, Pengarah Urusan HazelComms Hazel Jasni berkata acara itu muncul sebagai satu sempadan baharu yang menyatukan media dan sukan permotoran secara langsung, mencerminkan model progresif untuk kolaborasi jenama dan media, dalam landskap e-sukan yang semakin berkembang.

Presiden KDJA Ronnie Teo pula memuji penganjuran program itu dan menyatakan penghargaan atas peluang yang diberikan kepada media Kuching untuk merasai pengalaman sim racing secara langsung menerusi kejohanan sulung ini.

“Kesempatan untuk benar-benar merasai dan menghayati dunia sim racing memberi kami penghargaan yang lebih mendalam serta pemahaman yang lebih baik terhadap potensi sukan ini. Kami menantikan lebih banyak penglibatan sebegini pada masa hadapan bagi terus meluaskan cakupan media,” katanya.

Pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada 30 Ogos, bakal menjadi pertarungan penuh tenaga, lengkap dengan penyampaian anugerah, pengiktirafan eksklusif dan peluang kandungan bernilai tinggi yang mampu meningkatkan keterlihatan media serta kerjasama bersama jenama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan