DUNIA

IAIS RAYU MESIR BUKA SEMPADAN UNTUK PENYALURAN BANTUAN KE GAZA

29/07/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia merayu agar Mesir membuka sempadannya bagi memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan segera ke wilayah Gaza yang dilanda perang.

Pengerusi IAIS Malaysia, Dr Maszlee Malik dalam rayuannya kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi menggesa agar kerajaan Mesir mengambil langkah berani dan berprinsip dengan membuka koridor kemanusiaan melalui sempadannya.

“Kami menyeru kepimpinan anda supaya segera membuka laluan bantuan kemanusiaan melalui Rafah (Mesir) atau mana-mana saluran yang tersedia.

“Kami sedar akan kerumitan dari sudut keselamatan dan diplomatik.

“Namun, prinsip berkecuali kemanusiaan mesti diutamakan dan sejarah suatu hari nanti akan menilai sama ada kita berpihak kepada yang tertindas atau berpaling daripada rintihan mereka,” kata Maszlee dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat, dengan lebih dua juta penduduk — separuh daripadanya kanak-kanak — sedang mengalami kebuluran, dehidrasi dan penderitaan tanpa henti.

“Kepungan sepenuhnya, pengeboman berterusan dan halangan terhadap akses bantuan kemanusiaan telah mencetuskan apa yang kini disifatkan oleh ramai pakar antarabangsa dan pegawai PBB sebagai kebuluran sistematik yang berpunca daripada perbuatan manusia,” katanya.

Maszlee turut menggesa kerajaan Mesir agar bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan secara selamat dan berkesan, selaras dengan tuntutan kemanusiaan dan ajaran Islam.

Beliau menegaskan kemasukan segera bantuan yang menyelamatkan nyawa terutamanya makanan, air dan ubat-ubatan bukan sahaja merupakan tuntutan moral, tetapi kewajipan yang termaktub dalam Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Konvensyen Geneva Keempat, yang menekankan perlindungan terhadap orang awam di zon konflik dan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan.

Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza selama 18 tahun dan semua lintasan ditutup sepenuhnya sejak 2 Mac lalu, memburukkan lagi situasi kemanusiaan di wilayah itu.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 134 rakyat Palestin termasuk 88 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat sejak 7 Okt 2023.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) turut memberi amaran bahawa kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun meningkat dua kali ganda antara Mac dan Jun ekoran sekatan yang berterusan.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan