KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Faktor keamanan negara dan kestabilan kerajaan menjadikan Malaysia mampu menjadi perantara dalam usaha mendamaikan dua negara ASEAN yang dilanda konflik perbalahan baru-baru ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pentadbiran negara yang kukuh membolehkan Malaysia diiktiraf oleh negara luar sekali gus dipilih sebagai penyelaras rundingan genjatan senjata melibatkan Thailand dan Kemboja.
“Negara ini aman sebab negara ini kerajaannya kukuh. Sebab itu, waspada dengan percubaan untuk melemahkan (kerajaan)…kalau negara ini porak-peranda, hari-hari ada tuntutan dan pergaduhan, siapa nak datang?” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Anwar berkata Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada Isnin ini (4 Ogos) bagi berunding dan memperincikan beberapa perkara berkaitan keamanan di sempadan kedua-dua negara itu.
Beliau berkata perkara itu membuktikan bahawa Thailand dan Kemboja masih berhubung rapat dengan Malaysia dalam usaha untuk mencapai keamanan yang berterusan.
“Saya tanya banyak keadaan (perkembangan) dan dia (Perdana Menteri Kemboja Hun Manet) terus berterima kasih kepada Malaysia dan memaklumkan tiada lagi pergaduhan (dengan Thailand).
“Beliau (Hun Manet) minta kita tolong…Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja nak datang berunding di Kuala Lumpur mulai Isnin untuk catat beberapa langkah terperinci tentang keamanan di Kemboja dan Thailand,” katanya.
Menurut Anwar perkara itu membuatkan nama Malaysia harum di peringkat dunia sehingga Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghubungi beliau dan menyatakan ucapan terima kasih kerana menjadi perantara berhubung konflik Thailand-Kemboja.
“Presiden Trump puji usaha yang hebat (fantastic job) kerana kejayaan kita (Malaysia) membawa negara Thailand dan Kemboja berpakat untuk menyelesaikan dan mencapai keamanan yang sukar diperolehi di tempat lain.
“Cubaan pertama (rundingan) kurang berjaya, Presiden Trump cuba telefon, China juga ada cuba dan ada juga sedikit kejayaan.
“Maka Malaysia menerusi Kementerian Luar, Panglima Angkatan Tentera semua berusaha. Maka Perdana Menteri Thailand dan Kemboja datang (ke Malaysia) dan dalam tempoh dua jam setengah tercapai persetujuan (gencatan senjata),” katanya.
Sebelum ini, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mencapai gencatan senjata serta-merta tanpa syarat selepas mengadakan sesi Mesyuarat Khas di Putrajaya dengan Malaysia menjadi penyelaras pada sesi berkenaan.
-- BERNAMA