BALING, 29 Julai (Bernama) -- Peranan muzium berevolusi seiring perkembangan zaman dengan fungsinya tidak hanya sebagai tempat penyimpanan dan pameran artifak sebaliknya turut menjadi pusat pembelajaran serta penglibatan sosial.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata muzium merupakan institusi penting dalam memelihara dan memulihara selain memaparkan khazanah sejarah, budaya serta warisan di negara ini.
"Pendekatan yang diambil menerusi konsep muzium bersama komuniti merupakan satu inisiatif yang menekankan keterlibatan aktif masyarakat dalam pelbagai aspek pengurusan dan aktiviti muzium.
"Menerusi pendekatan ini, komuniti bukan hanya menjadi pengunjung tetapi juga sebagai rakan strategik dalam proses penyelidikan, pemeliharaan, pemuliharaan dan pembangunan kandungan pameran serta aktiviti muzium," katanya semasa berucap merasmikan Program Komuniti Kembara Ilmu Jom Gi Baling sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 di Dusun Tok Wak dekat sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kassim, Pengarah Muzium Negeri Kedah Suhaidi Syukri dan Pegawai Daerah Baling Yazlan Sunardie Che Yahaya.
Mengulas lanjut, Saraswathy berkata muzium menjadi platform kolaboratif antara institusi serta masyarakat dan aktiviti seperti Program Kembara Ilmu Jom Gi Baling merupakan usaha yang baik bagi mewujudkan rasa kepemilikan dalam komuniti.
"Sejarah, warisan dan kebudayaan negara merupakan mekanisme yang boleh digerakkan dalam pembentukan jati diri serta pengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
"Melalui konsep muzium bersama komuniti, penglibatan masyarakat dalam pemeliharaan warisan budaya dapat dipertingkat dengan muzium menjadi institusi untuk komuniti merasakan bahawa warisan, budaya serta sejarah mereka dihargai dan dilindungi," katanya.
Beliau juga berkata menerusi konsep sama, pertukaran ilmu antara generasi dapat dilaksana dengan komuniti mampu mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan serta idea dalam pembangunan program dan aktiviti muzium.
"Pendekatan muzium bersama komuniti bukan hanya memperkukuh hubungan antara institusi budaya dan rakyat malah dapat memelihara identiti komuniti yang sering terpinggir daripada arus perdana.
"Konsep muzium bersama komuniti mencerminkan transformasi institusi muzium sebagai entiti yang lebih terbuka dan berorientasikan masyarakat.
"Melalui penglibatan secara langsung oleh komuniti, muzium bukan sahaja dapat memelihara warisan dengan lebih efektif malah membina masyarakat yang lebih sedar akan identiti dan sejarah mereka," katanya.
Program Komuniti Kembara Ilmu Jom Gi Baling dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah sempena sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025.
Antara pengisian utama program itu ialah Kembara Ilmu ke Gua Sireh, lawatan ke Galeri Rundingan Baling serta aktiviti komuniti di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera selain penyampaian sumbangan bakul makanan kepada Orang Asli suku Kensiu di Ulu Legong dan golongan asnaf dari Mukim Siong.
-- BERNAMA