KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) dirangka bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemeliharaan warisan budaya di ibu negara, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk merangka pelan khusus yang memberi perlindungan kepada bangunan warisan serta lokasi bersejarah di sekitar bandar raya ini.
“Apabila kita menyatakan bahawa Kuala Lumpur ialah bandar raya untuk semua, ia juga merangkumi pembangunan warisan. Kita mempunyai pelan yang menunjukkan jejak warisan yang dikenal pasti dan dimasukkan dalam PTKL 2040.
“Ketika ini, usaha mengesan dan mengenal pasti laluan serta lokasi jejak warisan masih giat dilaksanakan bagi dimasukkan dalam pelan berkenaan,” katanya dalam temu bual dalam program POV: Perspektif Bukan Persepsi bersama Kamal Affandi Hashim di Bernama Radio hari ini.
Beliau berkata pelan berkenaan turut mengenal pasti beberapa perkampungan warisan yang akan dikekalkan dan diwartakan sebagai kawasan yang tidak boleh diganggu, sejajar dengan matlamat mengekalkan nilai sejarah serta budaya Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Maimunah menjelaskan PTKL 2040 digariskan secara menyeluruh, merangkumi kawalan pembangunan yang seimbang dari aspek ekonomi, fizikal, alam sekitar, warisan, kreativiti, kesejahteraan mental dan keselamatan penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan DBKL juga telah mengemukakan permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Mac lalu untuk menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN).
“Pihak UNESCO sudah mengesahkan penerimaan permohonan itu pada April dan kini ia sedang dalam proses penilaian. Kita menjangkakan keputusan akan diumumkan pada Oktober ini.
“Doakan agar warga Kuala Lumpur menerima berita positif pada Oktober nanti, insya-Allah,” katanya.
UCCN ialah pengiktirafan kepada bandar yang mengutamakan inovasi, tadbir urus serta penglibatan komuniti melalui pelbagai elemen kreativiti.
-- BERNAMA