Oleh Ratcharathan A/L Rawe Shanggar
(Bernama akan mengeluarkan siri laporan temu bual eksklusif bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib. Laporan ini yang ketiga daripada siri laporan tersebut.)
GEORGE TOWN, 30 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai antara negeri termaju di Malaysia, didorong oleh keunggulan dalam sektor perindustrian, pelaburan dan pelancongan, menurut Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.
Tun Ramli berkata gabungan antara infrastruktur yang baik, nilai warisan sejarah yang unik serta kepelbagaian budaya, menjadikan Pulau Pinang terus menarik perhatian pelabur dan pelancong dari seluruh dunia, sekali gus meletakkannya di hadapan dalam peta pelaburan Asia Tenggara.
“Pulau Pinang mempunyai asal-usul yang tidak boleh diambil oleh orang lain seperti warisan yang dibuat oleh orang tempatan dan yang ditinggalkan pihak British.
“Ia bukan hanya warisan fizikal dari segi pembangunan tetapi warisan tradisional iaitu adat istiadat, makanan dan sebagainya dalam satu kancah,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.
Temu bual itu dikendalikan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Biro Pulau Pinang R. Ratcharathan, di Seri Mutiara di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata lokasi strategik Pulau Pinang sebagai pulau pelabuhan sejak zaman dahulu lagi, memberi kelebihan dengan kini disokong Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan sistem jalan raya yang baik sehingga terus menerima aliran pelaburan asing baik.
Tun Ramli memaklumkan Pulau Pinang menarik pelaburan bernilai RM6.7 bilion pada suku pertama 2025, dengan 90 peratus daripadanya merupakan pelaburan asing langsung (FDI) dan ia menyumbang 22 peratus kepada kesleuruhan jumlah pelaburan negara.
Beliau berkata perkembangan industri berasaskan teknologi seperti elektronik, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) dijangka terus memacu ekonomi negeri, ditambah dengan usaha kerajaan negeri dalam menaik taraf kemudahan infrastruktur.
Tun Ramli berkata projek-projek mega Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua daripada Kerajaan Persekutuan, dilihat sebagai pemangkin utama kepada jaringan pengangkutan negeri yang menyokong pelaburan serta memudahkan kemasukan pelancong.
Daripada segi pelancongan pula, beliau menekankan bahawa kekuatan Pulau Pinang bukan hanya pada lokasi fizikalnya yang menarik, tetapi juga pada pelancongan bertunjangkan warisan dari seni bina kolonial hingga ke adat resam dan makanan tradisi yang mencerminkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Warisan di sini bukan sekadar bangunan, tetapi nilai dan cara hidup. Ia seperti Taj Mahal di India yang dibina beratus tahun lepas, tapi terus jadi tumpuan hingga kini. Orang yang melihatnya akan terus bertambah dan tidak berkurang. Begitu juga di sini,” katanya.
LTAPP merekodkan hampir 2 juta pergerakan penumpang pada suku pertama 2025, iaitu peningkatan 69.55 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas dengan jumlah penumpang antarabangsa meningkat lebih 80 peratus, manakala penumpang domestik meningkat lebih 57 peratus.
Tun Ramli turut memuji keharmonian masyarakat berbilang kaum dan penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan komuniti bukan Melayu di Pulau Pinang, yang menurutnya menjadi asas kukuh kepada pembangunan negeri.
“Pulau Pinang sudah menjadi negeri well poised. Yang penting, kita kena kekalkan warisan kita,” kata beliau yang mengakhiri sesi temu bual tersebut dengan menyeru semua pihak agar mengekalkan warisan negeri sambil terus memperkukuh pembangunan.
-- BERNAMA