EKONOMI

AORB, DATUK BANDAR KOTA KINABALU METERAI MOA BERJUMLAH RM360 JUTA BAGI PROJEK PEMULIHAN

30/07/2025 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Alpha Ocean Resources Bhd (AORB) telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu bagi cadangan projek pemulihan melibatkan pembangunan pelabuhan pendaratan perikanan laut dalam dan tuna, infrastruktur pelancongan marin dan hospitaliti. 

AORB berkata perjanjian yang dimeterai hari ini melibatkan cadangan konsesi 30 tahun ke atas dua bidang tanah di Kota Kinabalu, dengan pilihan lanjutan 30 tahun lagi, tertakluk kepada persetujuan bersama, dengan anggaran kos keseluruhan projek serta konsesi sebanyak RM360 juta.

“Datuk Bandar telah mengemukakan permohonan untuk memindah hak milik tanah bagi memudahkan pelaksanaan projek pemulihan itu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut syarikat itu, pelaksanaan MoA merupakan sebahagian daripada kepelbagaian strategi perniagaan AORB bagi mengukuhkan, meningkatkan, operasi, pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan tersebut.

Katanya, kerjasama dengan Datuk Bandar itu akan memanfaatkan kepakaran AORB dalam industri makanan laut bagi menyokong projek pemulihan dan konsesi itu, mewujudkan platform bagi pertumbuhan mampan, dan mengembangkan kehadiran AORB di Kota Kinabalu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi bandar raya itu. 

Sementara itu, kemungkiran termasuk kegagalan untuk melaksanakan perjanjian dalam tempoh ditetapkan, tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, atau sebarang kelewatan material yang dianggap menyebabkan projek berdaya maju dari segi kewangan.

 “Dalam hal ini, MoA ditamatkan kerana keingkaran yang timbul daripada sebarang pelanggaran, kemungkiran yang disengajakan, kecuaian yang teruk, atau kegagalan bertindak oleh Datuk Bandar, jadi Datuk Bandar hendaklah menanggung semua kos dan perbelanjaan yang munasabah serta didokumentasi dengan betul oleh AORB berkaitan MoA, projek pemulihan, konsesi dan kerja-kerja awal, atau segala usaha berkaitan,” katanya. 

Syarikat itu berkata MoA itu dijangka tidak memberi kesan serta-merta kepada modal sahamnya, perolehan sesaham, atau aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026.

Dokumen berkaitan MoA akan tersedia bagi pemeriksaan di pejabat berdaftar AORB di George Town, Pulau Pinang, bagi tempoh tiga bulan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan