AM

MASIH ADA RUANG TAMBAH BAIK SKOR IHI SARAWAK

30/07/2025 02:32 PM

KUCHING, 30 Julai (Bernama) -- Masih terdapat ruang untuk menambah baik Skor Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) bagi Sarawak meskipun menunjukkan peningkatan ketara daripada 79.3 peratus pada 2022 kepada 81.5 peratus tahun lepas. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata skor yang dikeluarkan secara dwitahunan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) menunjukkan hubungan majikan dan pekerja di negeri ini pada tahap baik. 

“Ini menunjukkan realiti landskap perhubungan perusahaan dan juga senario perburuhan yang harmoni di Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Keharmonian Perusahaan Sarawak Tahun 2025 bertemakan “Kelestarian Keharmonian Perusahaan Melalui Pemerkasaan Perundangan” di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JPPM Aminuddin Ab Rahaman dan Pengarah, Unit Buruh dan Imigresen (ILMU) Jabatan Premier Sarawak Richard Lon.

Gerawat berkata kadar pematuhan oleh majikan terhadap piawaian buruh di Sarawak sangat memuaskan dan memberi petunjuk negeri ini berada di landasan tepat dalam usaha menambah baik pengurusan hubungan industri dan pematuhan undang-undang buruh.

“Kami amat gembira dengan kemajuan ini, namun saya berharap prestasi itu akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

“Sasaran kita adalah untuk sekurang-kurangnya menyamai kadar nasional, iaitu 83 peratus atau lebih baik,” katanya. 

Gerawat yakin bahawa syarikat dan majikan di Sarawak akan mengambil langkah-langkah positif dalam usaha meningkatkan lagi prestasi mereka selaras dengan sasaran negeri dan negara.

Sementara itu, beliau menegaskan penting untuk semua pihak mematuhi peruntukan yang termaktub dalam Akta Perhubungan Perusahaan serta ordinan negeri bagi memastikan pengurusan sumber manusia dan hubungan industri yang adil serta berkesan.

Beliau turut menyeru syarikat yang berminat untuk melaksanakan sistem upah pekerja berdasarkan produktiviti supaya menyertai program bimbingan percuma yang disediakan oleh JPPM.

"Peningkatan produktiviti secara relatifnya akan meningkatkan keuntungan syarikat dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri Sarawak dan negara,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan