SUKAN

WAI CHING AZAM TAWAN MERDEKA 118 BAWAH 16 MINIT

30/07/2025 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai -- Jaguh larian menara negara Soh Wai Ching berazam untuk menawan Menara Merdeka 118 dengan catatan masa bawah 16 minit, pada edisi sulung The Sky Race yang dijadual berlangsung 30 Ogos ini.

Wai Ching optimis kelebihan beraksi di laman sendiri dan peluang menjalani latihan di bangunan pencakar langit tertinggi Malaysia beberapa kali sebelum ini memberi kelebihan besar kepadanya berbanding pencabar lain termasuk dari luar negara.

Dengan 2,845 anak tangga yang perlu ditawan dari tingkat bawah hingga 118, atlet berusia 30 tahun itu mengakui struktur bangunan kedua tertinggi di dunia itu unik berbanding menara lain pernah didakinya menjadikan ia lebih mencabar baik dari segi fizikal mahu pun mental.

“Tangga Menara Merdeka 118 bukan macam biasa, agak pelik. Saya tak nak kongsi banyak sebab biarlah ada kejutan untuk peserta lain.

“Bagaimanapun, apa saya boleh beritahu, ini satu daripada tangga paling mencabar yang saya pernah panjat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran The Sky Race di Stadium Merdeka, di sini hari ini.

Menurut Wai Ching, setelah saingan The Sky Race, beliau akan menumpukan kepada perlumbaan di Shanghai Tower, China, November depan.

Beliau berkata perlumbaan di menara ketiga tertinggi dunia itu menjadi peluang terbaiknya untuk merampas semula takhta nombor satu dunia dari wakil Jepun Ryoji Watanabe.

Sementara itu, Pengarah perlumbaan Jeffrey Ross berkata sebanyak 4,100 peserta dari 31 negara telah mendaftar setakat ini.

Ross berkata beliau gembira dengan sambutan menggalakkan dan berharap sasaran 5,000 peserta dapat dicapai sebelum pendaftaran ditutup dalam tempoh 10 hari lagi.

“Hampir 80 peratus peserta adalah dari Malaysia, manakala 20 peratus lagi pelbagai negara. Saya juga boleh mengesahkan sebahagian daripada 20 pelari menara terbaik dunia turut mengambil bahagian.

“Ini bukan perlumbaan semata-mata, tetapi juga pengalaman luar biasa yang menjanjikan pemandangan panorama Kuala Lumpur paling menakjubkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan