Oleh M.Saraswathi & Karina Imran
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pembaharuan struktur Malaysia yang berterusan untuk memastikan daya tahan jangka panjang penting untuk melindungi ekonomi daripada kejutan global, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata perancangan Malaysia yang berpandangan jauh membolehkan negara berdepan kejutan seperti pandemik COVID-19 yang melanda lima tahun lalu dan cabaran akan datang akibat daripada pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, usaha Malaysia untuk mencapai kesaksamaan sosial dan kemampanan fiskal juga telah memperkukuh ekonomi dan meningkatkannya ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini termasuk menyediakan tenaga kerja bagi masa depan dan mempertingkatkan sistem perlindungan sosial,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.
Pandangan jauh Malaysia dalam melaksanakan pembaharuan kewangan dan ekonomi selama beberapa dekad telah membantu mengukuhkan asas ekonomi negara, membolehkan negara mendepani ketidaktentuan.
"Kedudukan kita sekarang, kekuatan (ekonomi) yang kita ada, keupayaan kita mengharungi pandemik dan perkembangan berkaitan tarif, adalah hasil daripada pembaharuan struktur yang dilaksanakan sebelum ini. Itulah sebabnya mengapa kita perlu terus kekal berada di laluan ini," katanya.
Abdul Rasheed berkata komitmen kerajaan untuk melakukan pembaharuan, terutamanya melalui pembinaan semula ruang fiskal, penting bagi kerajaan untuk menyokong ekonomi secara berkesan dalam tempoh yang mencabar.
Beliau juga memuji pelaksanaan pelan strategi nasional utama kerajaan, termasuk Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), sebagai inisiatif yang menarik pelaburan berkualiti dan menjana peluang pekerjaan bergaji tinggi.
Elemen penting pelan ini adalah dasar untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang meningkatkan kesalinghubungan ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, meluaskan pautan domestik, membangunkan kluster ekonomi dan menambah baik keterangkuman, sejajar dengan NIA.
Hasilnya, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM378.5 bilion pada 2024, katanya.
“Kita mahukan pelaburan berkualiti tinggi yang mencipta pekerjaan berkualiti tinggi, pekerjaan berpendapatan tinggi dan mempunyai pautan domestik yang kukuh.
"Ini juga mewujudkan kesalinghubungan dalam ekonomi. Inilah yang diperlukan Malaysia, dan pelan-pelan itu mempunyai semua elemen ini," katanya.
Beliau berkata penting juga bagi Malaysia untuk memulakan fasa pembaharuan seterusnya.
Selain mewujudkan pekerjaan baharu bergaji tinggi, Abdul Rasheed berkata Malaysia perlu melahirkan tenaga kerja yang lebih tangkas dan bersedia untuk masa depan melalui pembaharuan pasaran buruh, sambil meningkatkan sistem perlindungan sosial negara.
"Negara berusaha keras untuk menarik pelaburan berkualiti, yang seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan berpendapatan tinggi. Tenaga kerja kita perlu bersedia untuk ini dan juga keperluan untuk kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran.
“Sistem pendidikan perlu berkembang seiring untuk mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi ekonomi yang semakin berpaksikan digital dan dipacu pengetahuan,” katanya.
Mengenai keselamatan sosial, Abdul Rasheed berkata program bantuan perlu ditambah baik dan lebih bersasar untuk memastikan keterangkuman, memaksimumkan impak, dan memastikan objektif dicapai.
Beliau berkata pembiayaan bagi pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan inisiatif lain boleh diperkukuh lagi dengan menyalurkan penjimatan daripada usaha penyatuan fiskal, termasuk merasionalisasikan subsidi.
Menurutnya, kerajaan terus komited terhadap pembaharuan, dan pada masa yang sama, menyedari cabaran yang dihadapi oleh segmen tertentu rakyat termasuk berdepan tekanan kos sara hidup yang berterusan.
Beliau berkata pelaksanaan langkah-langkah bersasar di samping langkah sokongan, boleh membantu memudahkan peralihan.
Pada 23 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pakej bantuan kos sara hidup, termasuk bantuan tunai SARA RM100 yang diberi sekali sahaja, penurunan harga bahan api RON95, penangguhan kenaikan tol dan peruntukan Jualan Rahmah Madani yang diperluaskan.
-- BERNAMA