EKONOMI

ASET RIZAB RASMI MALAYSIA BERJUMLAH US$120.61 BILION PADA AKHIR JUN 2025 - BNM

31/07/2025 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$120.61 bilion (US$1 = RM4.23) manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$1.21 bilion pada akhir Jun 2025, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat masa depan mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain.

Ia juga memberi panduan mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Jun 2025 tetap boleh guna,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah US$12.99 juta, aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.

“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$22.60 juta pada akhir bulan Jun 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

BNM berkata sejajar dengan amalan diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2,70 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan Kerajaan terhadap hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$419 juta, katanya.

“Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat belum digunakan diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan