KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd optimis Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan dibentangkan pada Khamis, akan memperkukuh usaha negara untuk membangunkan sektor ekonomi bernilai tinggi dan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pengembangan sektor perbankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam berkata pihaknya menjangka RMK13 akan membina momentum dalam beberapa tahun ini terutamanya dalam memacu kemajuan dalam peralihan tenaga, infrastruktur dan industri berteknologi tinggi.
“Kami menjangka RMK13 meneruskan kemajuan yang telah dilihat sejak beberapa tahun ini dan saya percaya sebahagian daripadanya merupakan kemuncak kepada beberapa inisiatif kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi bernilai tinggi.
“Kami berharap untuk menyaksikan kemajuan tambahan ke arah Pelan Peralihan Tenaga, sektor elektronik dan berteknologi tinggi serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur demi kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa bank itu di sini hari ini.
Dari perspektif sektor perbankan, Kam percaya pelan itu akan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan.
Beliau turut berharap RMK13 akan menyokong pengembangan perniagaan dan kredit jangka panjang walaupun berdepan cabaran ekonomi makro.
Katanya pihaknya kekal fokus pada segmen komersial dan pengguna pasaran pertengahan serta menyelaraskan dengan keutamaan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan RMK13, pelan tindakan pembangunan ekonomi lima tahun, di Dewan Rakyat esok.
-- BERNAMA