KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan pertandingan National Fire Fighter Drill 2025 (NFD 2025) yang berlangsung di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Terengganu sejak 25 Julai.
Pengarah JBPM Kuala Lumpur Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Hassan ‘As’ari Omar berkata kontinjen Kuala Lumpur yang diwakili 40 peserta meraih empat pingat emas, empat perak dan empat gangsa bagi 12 acara yang disertai pada pertandingan yang berakhir semalam.
Beliau berkata pingat emas diraih menerusi acara Toughest Bomba Alive Challenge, Duo Technical Rescue Challenge, Fire Ground Challenge dan 100 meter Fire Obstacle Challenge.
“Pingat perak pula diperoleh daripada acara Hose Rampage, Fire Fighters Challenge, Spider Trail dan Fire Ground Challenge manakala pingat gangsa diraih menerusi acara Ultimate Bomba Warrior Challenge, Mighty FireFighter, Water Savior dan 100 meter Fire Obstacle Challenge,” katanya kepada Bernama dalam majlis meraikan peserta pertandingan itu di sini, hari ini.
Hassan ‘As’ari berkata pertandingan itu merupakan platform penting bagi menguji elemen kecekapan, kekuatan fizikal dan mental anggota bomba, yang amat berguna dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar.
“Dengan pengalaman yang diperoleh dalam pertandingan ini, mereka akan lebih yakin dan memahami tindakan yang perlu diambil semasa menghadapi situasi kecemasan sebenar,” katanya.
-- BERNAMA