AM

SUNWAY MEDICAL CENTRE ANJUR SIMPOSIUM ANTARABANGSA, PERKUKUH PENJAGAAN PEDIATRIK SERANTAU

30/07/2025 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Sunway Medical Centre, Sunway City (SMC) telah menganjurkan Simposium Pediatrik Antarabangsa 2025 dengan tema “Pediatrik Merentasi Sempadan: Menghubungkan Subkepakaran, Menyelamatkan Nyawa”, yang menghimpunkan pakar pediatrik terkemuka dari Malaysia, China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

SMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa simposium berformat hibrid yang berlangsung dari 26 hingga 27 Julai itu, dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dan turut dihadiri Pengarah Unit Prestasi Kesihatan, Kementerian Kesihatan Dr Saravanan SR Sundaramurthy.

“Simposium ini menjadi platform penting untuk perkongsian kepakaran, pemajuan amalan klinikal serta memupuk kerjasama global dalam penjagaan kesihatan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

SMC dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa simposium tersebut telah menghimpunkan pakar pediatrik dari SMC, Sunway Medical Centre Damansara (SMCD), Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Sunway Medical Centre Pulau Pinang (SMCP), Sunway Medical Centre Ipoh (SMCI), Fudan Children’s Hospital (Shanghai), Boston Children’s Hospital (AS), dan KK Women’s and Children’s Hospital (Singapura).

“Acara ini menjadi platform yang berkesan untuk pertukaran ilmu, kemas kini amalan berasaskan bukti dan penetapan piawaian serantau dalam penjagaan pediatrik yang melangkaui sempadan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu para peserta telah membincangkan pelbagai topik, termasuk penjagaan kritikal bayi baru lahir, onkologi remaja, kecemasan jantung dan penyakit kronik.

“Satu sesi yang mencuri tumpuan ialah mengenai kesaksamaan kesihatan serantau yang telah mencetuskan perbincangan dinamik mengenai bagaimana negara-negara boleh bekerjasama untuk merapatkan jurang akses, meningkatkan latihan dalam subkepakaran pediatrik, serta melaksanakan model pengesanan awal yang dapat menyelamatkan nyawa,” menurut kenyataan SMC itu.

Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-Kanak SMC menawarkan pelbagai subkepakaran pediatrik merentasi multidisiplin. Dengan kemudahan khusus, suasana mesra kanak-kanak serta pasukan multidisiplin berpengalaman, pusat ini menjadi peneraju serantau dalam penjagaan menyeluruh yang berfokuskan pesakit kanak-kanak.

Sebagai hospital kuartenari swasta terbesar di Malaysia, SMC menempatkan lebih 300 perunding perubatan tetap, 60 kepakaran perubatan dan 28 Pusat Kecemerlangan. Dengan siapnya blok keenam – Menara F (Pavilion Kanak-Kanak), jumlah katil akan meningkat kepada lebih 1,100 berbanding 810 katil berlesen pada masa ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata bahawa simposium itu, mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap kejayaan klinikal, terdapat harapan bersama untuk memberikan setiap kanak-kanak masa depan yang lebih sihat dan cerah.

“Apabila kita bekerjasama merentasi sempadan, kita membina sesuatu yang jauh lebih berkuasa daripada sekadar protokol dan prosedur; kita membina sebuah komuniti yang prihatin. Melalui perkongsian ilmu, belas kasihan dan kerjasama, kita benar-benar boleh mengubah masa depan penjagaan pediatrik,” katanya.

Beliau menambah bahawa perkhidmatan kuarternari SMC yang merangkumi 26 subkepakaran pediatrik membolehkan penjagaan menyeluruh untuk kes-kes kritikal, merangkumi rawatan perubatan, pembedahan, onkologi dan pascatransplan.

Pengurus Besar Perkhidmatan Wanita dan Kanak-Kanak SMC Dr Ng Lee Li berkata simposium itu mencerminkan komitmen berterusan hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kanak-kanak yang menyeluruh, inklusif dan bersepadu.

“Melalui dialog terbuka, pertukaran profesional dan empati yang mendalam, kita dapat membayangkan semula masa depan pediatrik demi kebaikan setiap ibu bapa dan anak di rantau ini,” katanya.

Sebagai hospital kuarternari swasta terbesar di Malaysia dengan 810 katil berlesen dan bakal berkembang kepada lebih 1,100 katil, SMC juga telah diiktiraf sebagai penyedia perkhidmatan pediatrik utama Malaysia selama tiga tahun berturut-turut, menurut penarafan terkini Newsweek APAC.

Hospital utama dalam Sunway Healthcare Group (SHG) ini juga merupakan yang pertama di negara ini yang memperoleh tiga akreditasi hospital utama iaitu Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan