EKONOMI

MITRA LAKSANA TIGA PROGRAM PPSMI BERNILAI RM21.25 JUTA - RAMANAN

30/07/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menerima kelulusan untuk melaksanakan tiga program di bawah inisiatif Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM21.25 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata antaranya menerusi Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta berjumlah RM10.514 juta yang memanfaatkan 4,700 kanak-kanak bagi meningkatkan akses pendidikan awal kepada kanak- kanak berbangsa India.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan bagi Program Bantuan Subsidi Dialisis berjumlah RM10 juta yang memanfaatkan 2,000 pesakit dialisis sebagai intervensi dalam membantu pesakit buah pinggang berbangsa India mendapatkan rawatan berkala.

Ramanan berkata Kajian Impak Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Tahun 2021-2023 pula melibatkan peruntukan berjumlah RM736,952.50, bertujuan menilai keberkesanan program yang lepas sebagai asas penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Ramanan menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin tahu perkembangan penyaluran peruntukan di bawah MITRA berikutan MITRA telah menerima 1,332 permohonan untuk peruntukan tersebut antara Disember 2024 dan Januari 2025 serta cadangan kerajaan untuk mengatasi masalah kelewatan penyaluran peruntukan tersebut.

Sementara itu, bagi Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta dan Program Bantuan Subsidi Dialisis, MITRA telah membuka permohonan pada 26 Jun, 2025 dan penyaluran geran bagi kedua-dua program ini akan dilaksanakan secara berperingkat kepada permohonan yang layak dan ia dibuat secara terus kepada penerima atau melalui agensi kerajaan yang berkaitan.

Bagi penyaluran geran untuk Kajian Impak Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Tahun 2021–2023, ia akan dilaksanakan selepas pemeteraian perjanjian bersama Universiti Malaya dalam masa terdekat, kata beliau.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan