AM

'EPOK-EPOK' JADI NADI REZEKI PASANGAN OKU DI JOHOR BAHRU

31/07/2025 12:30 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 31 Julai (Bernama) -- Di sebalik kekangan komunikasi, pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) ini membuktikan bahawa kecekalan dan usaha gigih mampu membuka ruang untuk mereka menjana pendapatan dengan berniaga 'epok-epok', atau lebih dikenali sebagai kuih karipap.

Zulkifli Ainul Mokhsein, 38, dan isterinya Siti Nuratika Mohd Suhaimi, 32, yang juga OKU pendengaran dan pertuturan membuktikan bahawa ketekunan dan iltizam tidak mengenal batas keupayaan.

Seawal 4 pagi, pasangan yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Setia Indah bersengkang mata di dapur kecil mereka membuat persediaan untuk berjualan setiap Isnin hingga Sabtu dari 12 tengah hari hingga 6 petang di Taman Setia Indah, di sini.

Gerai diberi nama 'Epok-Epok OKU’ yang baharu dibuka sejak awal bulan ini, menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja kerana keenakannya, tetapi juga layanan mesra ditunjukkan pasangan yang dikurniakan empat cahaya mata ini.

Zulkifli Ainul dan Siti Nuratika berinteraksi menggunakan isyarat tangan yang ringkas serta mudah difahami pelanggan. Temu bual penulis bersama pasangan ini turut dijalankan melalui kaedah itu dan perbualan yang ditulis di telefon.

"Karipap kami ada pelbagai perisa daripada kentang, daging, ayam, sardin dan telur. Setakat ini alhamdulillah perniagaan kami dapat sambutan menggalakkan," kata Zulkifli Ainul.

Dalam kesibukan berniaga di gerai sambil ditemani anak-anak, pasangan ini turut menerima tempahan untuk pelbagai majlis dan infak bagi mereka yang ingin bersedekah.

“Bagi yang ingin membuat tempahan infak, gambar serahan saya akan hantar kepada mereka, sebagai bukti bahawa saya jujur berniaga,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik keceriaan yang terpancar di wajah Zulkifli Ainul, tersimpan kesakitan yang perlu ditanggungnya apabila disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2019 sekali gus memaksanya berhenti kerja sebagai pemandu lori sayur.

Sejak itu, pasangan berkenaan menjana pendapatan dengan menjual karipap sejuk beku, walau pun kadangkala agak sukar untuk mendapatkan pelanggan.

Justeru, Zulkifli Ainul berharap orang ramai menyokong perniagaan kecilnya itu demi kelangsungan menyara keluarga serta ibu yang semakin meningkat usia.

Walaupun hanya bergantung kepada hasil jualan karipap dan bantuan bulanan daripada Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat, dia turut membantu rakannya yang juga OKU pendengaran dan pertuturan  bekerja di gerainya selepas mengetahui rakannya itu sukar mendapatkan pekerjaan.

“Saya mencari rezeki untuk menyara isteri dan anak-anak serta ibu yang kematian suami tahun lepas dan menghidap darah tinggi serta kencing manis.

"Selain itu, saya perlu berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan kimoterapi dan dua kali setahun ke Institut Kanser Negara (IKN) untuk membuat Imbasan tomografi pancaran positron (PET Scan)," katanya. 

Bagaimanapun, Zulkifli Ainul meluahkan kesyukuran kerana bayaran sewa rumah ditanggung Baitulmal serta Yayasan Bandaraya Johor Bahru sekali gus membantu meringankan bebannya.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi pasangan ini di talian 0137428343 atau 0198968525.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan