AM

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 31 JULAI

31/07/2025 01:02 PM

336 RIBI TERIMA RM40 JUTA BAGI PENYELENGGARAAN SETAKAT 7 JULAI

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sebanyak 336 rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di seluruh negara telah menerima peruntukan berjumlah RM40 juta bagi tujuan penyelenggaraan setakat 7 Julai lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada dana tahunan RM50 juta yang disediakan kepada kementerian menerusi Belanjawan 2025, bagi melaksanakan inisiatif penyelenggaraan RIBI termasuk kerja pembaikan, pengubahsuaian serta kecemasan.

“Peruntukan sebanyak RM9.23 juta lagi akan disalurkan menjelang penghujung bulan depan,” katanya sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai satu rekod dalam pengurusan peruntukan kerajaan yang berhemah, telus dan saksama.

Beliau menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai jumlah penerima mengikut negeri dan jenis rumah ibadat mengikut kategori dari peruntukan RM50 juta yang disediakan untuk bantuan penyelenggaraan dan pembaikan rumah ibadat bukan Islam bagi 2024 dan 2025.

-- BERNAMA

 

KBS SALUR RM860,000 BANTU ATLET BEBAS SERTAI KEJOHANAN ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyalurkan RM860,000 kepada 73 atlet individu dan berpasukan yang tidak bernaung di bawah mana-mana kelab atau persatuan sukan bagi menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa sejak 2024 hingga Jun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata bantuan itu disalurkan menerusi geran Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSAN) yang sebelum ini hanya dibuka kepada badan sukan berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Bermula tahun lepas, permohonan KWSAN kita telah buka untuk atlet individu atau berpasukan yang tidak bernaung di bawah kelab ataupun persatuan sukan untuk menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa di luar negara. Selagi kejohanan itu mempunyai ranking dunia, mereka boleh mohon,” katanya.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai inisiatif dan insentif khusus kepada atlet profesional bebas dalam sukan seperti triatlon, crossfit, hyrox dan e-sukan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

NRES PERUNTUK RM1.5 JUTA KEPADA MANGSA KONFLIK HAIWAN LIAR 

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meneruskan pelaksanaan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta bagi membantu petani, pekebun dan individu terjejas.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata hingga semalam, 188 permohonan telah diproses melibatkan jumlah RM908,732.77, selain penyaluran bantuan dijangka dapat dibuat pada suku ketiga tahun ini.

“Bagi 2024, kementerian menyalurkan RM978,000 melibatkan 246 pemohon,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) mengenai perancangan jangka panjang kementerian dalam menangani konflik haiwan dan manusia serta menangani peningkatan kes gangguan hidupan liar di Gua Musang pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan berikutan trend konflik manusia dan hidupan liar yang semakin meningkat, sekali gus memerlukan kesinambungan bantuan bagi meringankan beban golongan terjejas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan