EKONOMI

RMK13 TUMPU PEMBANGUNAN PELABUHAN, INDUSTRI PERKAPALAN - PM ANWAR

31/07/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan memberi penekanan kepada pertumbuhan industri strategik dalam ekonomi biru yang mampan dan berdaya saing dengan fokus merangkumi hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim, teknologi berasaskan bio biru serta hab ekonomi biru di Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi pembangunan industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), usaha menarik pelaburan strategik akan dipergiat untuk memperluas kapasiti perkapalan dan menaik taraf infrastruktur bunkering di pelabuhan negeri Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Inisiatif ini akan menyumbang kepada sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab maritim serantau yang kompetitif dan mampan,” kata beliau semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini. 

RMK13 yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan merupakan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Anwar turut berkata inisiatif tersebut melibatkan pembangunan infrastruktur pelabuhan yang lebih moden, cekap dan lestari bagi menyokong pengendalian dagangan maritim rendah karbon.

“Ini termasuklah pembinaan terminal ketiga di Pulau Carey dan pembangunan terminal kontena Westports 2 serta pembesaran Pembesaran Tanjung Pelepas (PTP), Johor,” kata beliau.

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan