AM

MALAYSIA SASAR JADI EKONOMI UTAMA DUNIA MENJELANG 2030 - PM ANWAR

31/07/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) --  Malaysia menyasarkan untuk bangkit sebagai peneraju ekonomi Asia dengan identiti tersendiri berasaskan budaya dan hikmah Timur, sekali gus muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia menjelang 2030.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi merealisasikan aspirasi tersebut, negara perlu mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dan pemupukan budaya inovasi.

“Malaysia perlu bingkas daripada sekadar menjadi pengguna, kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bertaraf dunia,” kata beliau ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030 di Parlimen, hari ini.

Anwar turut menekankan kepentingan memperkukuh daya saing negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi tempatan dan transformasi digital.

“Hari ini, peluang generasi atau “generational opportunity” dalam kecerdasan buatan (AI) telah berada di hadapan mata dan tidak harus dilepaskan.

“Malaysia menetapkan hala tuju yang jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu dengan aspirasi untuk muncul sebagai pemain berpengaruh pada peringkat global,” kata beliau. 

Perdana Menteri turut berkata penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi keutamaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya melalui pembangunan aset digital strategik seperti AI, analitik data dan sistem digital kerajaan.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara, selain membangunkan industri yang lebih mampan dan berimpak tinggi selaras hasrat menjadi Negara berteraskan kecerdasan buatan,” kata beliau. 

Anwar berkata bagi memanfaatkan peluang ini, Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 akan menjadi pemacu kepada pembangunan bakat tempatan, penyelidikan serta pengkomersialan teknologi bagi menyokong adaptasi AI secara meluas.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan