KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini bakal melakar semula ekonomi serta pembangunan negara yang lebih inklusif, mampan dan bertanggungjawab.
Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inti pati RMK13 yang menumpukan kepada pendigitalan, teknologi termaju dan pembentukan sistem sosial berteraskan nilai MADANI dilihat seiring dengan matlamat negeri dalam merealisasikan Visi Penang 2030 yang digagaskan sejak 2018.
“Sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, pastinya Pulau Pinang berterima kasih terhadap fokus projek tersenarai yang bakal memberi pulangan pelaburan bernilai tinggi…ini membuktikan Pulau Pinang masih memainkan peranan signifikan terhadap pelaburan negara.
“Hal ini sekali gus bakal merealisasikan visi negara untuk terus menjadi peneraju industri semikonduktor bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur, Chow berkata pelaksanaan projek seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan penaiktarafan Lebuhraya PLUS Laluan Juru-Sungai Dua bukan sahaja akan menambah baik prasarana sedia ada, malah bakal memperluas kesalinghubungan antara kawasan.
Mengenai projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), katanya usaha itu akan meningkatkan pengalaman pengguna dan diharapkan dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa dirancang demi memastikan keterhubungan antara wilayah dapat diperkukuh.
Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata RMK13 dilihat sebagai pelan komprehensif dalam mengangkat martabat masyarakat di samping memberi nilai tambah kepada beberapa inisiatif kerajaan negeri sedia ada yang bakal memanfaatkan penduduk di negeri itu.
Beliau berkata antara yang menjadi tumpuan ialah pembinaan Pelabuhan Carey di Kuala Langat dengan menyatakan kesediaan pentadbirannya untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam menyegerakan pembinaan pelabuhan ketiga itu bagi menampung keperluan kapasiti kontena di Pelabuhan Klang.
Selain itu, Amirudin turut menyambut baik rancangan untuk menambah 300 unit van perkhidmatan transit atas permintaan (DRT), 1,200 unit bas serta 217 set tren penumpang bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang.
Selain itu, katanya pengiktirafan teknologi sisa kepada tenaga (WTE) serta komitmen kerajaan Persekutuan menawarkan 1.2 juta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan bidang ekonomi digital, dilihat mampu memberi manfaat kepada lebih ramai siswazah di negeri itu.
Di PAHANG pula, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perancangan mewujudkan Hab Pengeluaran Makanan Negara disifatkan sebagai satu langkah yang sangat baik dan bertepatan dengan keperluan semasa khususnya di Pantai Timur.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana Pantai Timur sangat memerlukan hab pembangunan seperti ini. Kita di peringkat negeri telah merangka Hab Halal dan kita telah mula laksanakan.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti dan menyediakan tapak bagi memastikan pelaksanaan Hab Halal di negeri ini dapat direalisasikan,” katanya yang menambah projek itu masih berada di peringkat perancangan.
Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keutamaan yang diberikan terhadap projek membina dan naik taraf hospital kerajaan termasuk di Hospital Tuanku Jaafar 2 membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyambut baik RMK13 yang menyenaraikan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Gemencheh, Tampin dengan peruntukan besar bagi mengurangkan risiko serta impak banjir justeru menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk di kawasan terlibat.
Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga di Lumut (LuMIC) akan menjadi pemangkin kepada keterjaminan bekalan tenaga negara sekali gus mengukuhkan kedudukan Lumut sebagai hab tenaga serantau.
Beliau berkata projek berkenaan juga dijangka menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor tenaga bersih dan mampan di samping menyokong pertumbuhan industri serta mewujudkan peluang pekerjaan di peringkat tempatan.
Pada masa sama, Loh berkata penubuhan LuMIC dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) juga bakal memperluas pembangunan industri ke kawasan pesisir seperti Manjung dan Kerian.
Sementara itu, di SABAH, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyambut baik tumpuan khas terhadap Sabah menerusi inisiatif pembangunan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, naik taraf kapasiti depoh pengadunan biodiesel di Sandakan dan Lahad Datu serta perancangan infrastruktur strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata pelan lima tahun itu memberikan harapan baharu kepada rakyat Sabah untuk menoktahkan jurang pembangunan serta melonjakkan peluang ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian yang merupakan nadi kehidupan majoriti penduduk luar bandar di negeri tersebut.
Arthur turut menegaskan penekanan terhadap penyertaan belia luar bandar melalui program TVET dan Skim Pembiayaan TVET Madani akan melahirkan generasi pelapis agropreneur yang berkemahiran, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencipta 1.2 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.
-- BERNAMA