EKONOMI

ITMAX SYSTEM PEROLEH KONTRAK SISTEM LAMPU ISYARAT PINTAR RM145 JUTA DI JOHOR BAHRU

31/07/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Anak syarikat 65 peratus milik ITMAX System Bhd (ITMAX), Southmax Sdn Bhd telah dianugerahkan kontrak berjumlah RM145 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi penempatan dan penyelenggaraan sistem lampu isyarat pintar di seluruh kawasan Johor Bahru.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ITMAX berkata kontrak itu adalah bagi tempoh 240 bulan bermula 1 Ogos, 2025 hingga 31 Julai, 2045.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX William Tan Wei Lun berkata kontrak itu adalah yang kedua diterima daripada MBJB, sekali gus mengembangkan jejak bandar pintarnya di Johor Bahru.

Beliau berkata anugerah itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat daripada pihak berkuasa tempatan itu terhadap penyelesaian infrastruktur dikuasakan kecerdasan buatan (AI) ITMAX dan mengesahkan kedudukannya sebagai rakan kongsi jangka panjang yang dipercayai dalam transformasi bandar pintar Johor.

“Menerusi pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar kami, kami berhasrat untuk bukan sahaja meningkatkan kecekapan trafik di seluruh bandar tetapi menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan mengukuhkan objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negeri Johor dengan lebih meluas,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan