JENAYAH & MAHKAMAH

PEMBANTU RUMAH JADI GRO ANTARA 12 WANITA WARGA ASING DITAHAN JIM

04/08/2025 10:38 AM

BUKIT MERTAJAM, 4 Ogos (Bernama) -- Seorang pembantu rumah Indonesia antara 12 wanita warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, pada 1.30 pagi tadi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Basri Osman berkata hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai permit sebagai pembantu rumah tetapi telah menyalahgunakan dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) pada waktu malam.

Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati ada dalam kalangan mereka yang ditahan itu bekerja di kilang, tinggal lebih masa dan beberapa orang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Dalam operasi ini, 12 wanita ditahan terdiri daripada tiga wanita warganegara Indonesia, tujuh Thailand dan dua Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun.

“Ketika operasi mereka ini sedang leka melayan pelanggan dan kita telah mengepung bilik digunakan untuk aktiviti hiburan dan berjaya menahan mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi, awal pagi ini.

Basri  berkata ketika diserbu terdapat beberapa wanita yang cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi berjaya ditahan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal kesemua wanita itu didapati baru enam bulan bekerja di premis terbabit dan menerima bayaran antara RM150 hingga RM250 sejam. 

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Jawi,” katanya sambil menambah operasi melibatkan 33 anggota dari ibu pejabat Imigresen, Perak dan Pulau Pinang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan