KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) menyambut baik fokus yang berterusan oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi hijau di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), terutamanya dalam teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Dalam satu kenyataan hari ini, MPRC berkata usaha untuk merangsang industri CCUS diberi penekanan di bawah inisiatif ekonomi hijau RMK-13, dengan menumpukan galakan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja’afar berkata RMK-13 sekali lagi meletakkan peranan industri OGSE dalam agenda masa depan rendah karbon Malaysia ketika ia beralih daripada minyak dan gas tradisional kepada peluang dalam peralihan tenaga.
“Ini selaras dengan komitmen MPRC untuk memacu penyelesaian mampan dan rendah karbon, satu misi yang kami perjuangkan sejak pelancaran Pelan Induk Industri OGSE Nasional 2021-2030 pada April 2021, dan seterusnya dipandu oleh Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional bagi mencapai sasaran sifar bersih Malaysia menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah RMK-13, kerajaan juga komited untuk mengukuhkan rangka kerja kawal selia, meningkatkan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan inovasi, di samping meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi mempercepatkan pelaksanaan CCUS.
Sejak 2024, MPRC berkata ia bekerjasama rapat dengan Bahagian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Kementerian Ekonomi dalam pelaksanaan CCUS termasuk inisiatif kesedaran awam dan pembangunan Pelan Hala Tuju CCUS.
Sementara itu, MPRC turut mengalu-alukan program pembangunan tenaga nuklear dalam RMK-13 yang dijangka akan memperkukuh lagi campuran tenaga rendah karbon negara dan membuka peluang penyertaan baharu kepada syarikat OGSE dalam industri berkaitan.
“MPRC kekal komited untuk memperkasa syarikat OGSE agar terus berkembang dalam landskap tenaga yang sedang berubah.
"Dengan kerjasama strategik, usaha-usaha yang menyokong dasar serta pembangunan keupayaan, kami akan terus menggalas peranan dalam memajukan peluang mampan bagi merealisasikan aspirasi sifar bersih Malaysia," kata Mohd Yazid.
-- BERNAMA