EKONOMI

MALAYSIA ANJUR MIHAS 2025 PADA SEPTEMBER, TURUT DISERTAI PEMBELI DARI PERANCIS

02/08/2025 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia edisi ke-21 (MIHAS 2025) dari 17 hingga 20 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan hari ini berkata lima pembeli dari Perancis dalam sektor makanan dan minuman serta fesyen akan menyertai pameran itu melalui Program Penyumberan Antarabangsa MIHAS (INSP).

"Penyertaan mereka mencerminkan pengiktirafan global yang semakin meningkat terhadap pensijilan halal sebagai bukti kualiti, kebolehkesanan dan jaminan etika kepada pengguna di seluruh dunia, tanpa mengira agama," menurut kenyataan itu.

Duta Besar Malaysia ke Perancis Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata MIHAS bukan sekadar acara perdagangan, sebaliknya merupakan platform global bagi inovasi, kemampan dan kualiti.

“Halal semakin diiktiraf di seluruh dunia sebagai pensijilan berasaskan nilai yang memastikan keselamatan, kebersihan dan integriti, bukan sahaja kepada umat Islam, malah sebagai sistem kawalan kualiti, kebolehkesanan dan jaminan etika yang dipercayai untuk semua pengguna.

“Saya gembira menyaksikan penyertaan yang kukuh dari Perancis tahun ini ketika Malaysia terus berusaha menghubungkan seluruh ekonomi halal dan mencipta peluang baharu dalam kerjasama global,” katanya.

Kaunselor Ekonomi di Kedutaan Malaysia di Paris Sebastien Chan Yik Sing berkata MIHAS berperanan sebagai gerbang strategik bukan sahaja ke Malaysia malah ke pasaran ASEAN yang lebih luas, merangkumi lebih 680 juta penduduk.

“Pembeli dari Perancis boleh memanfaatkan MIHAS bukan sahaja untuk mendapatkan produk halal yang berkualiti malah berhubung dengan pasaran ASEAN yang pesat berkembang melalui ekosistem halal Malaysia yang dipercayai dan teguh,” katanya.

MATRADE berkata MIHAS merekodkan jualan sebanyak RM4.3 bilion dan menarik lebih 43,000 pengunjung tahun lepas manakala edisi 2025 menyasarkan untuk mencapai jualan berjumlah RM4.5 bilion.

Dianjurkan oleh MATRADE, agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MIHAS adalah antara pameran perdagangan halal terbesar di dunia, yang melibatkan penyertaan daripada lebih 90 negara.

Edisi ke-21 yang akan datang, bertemakan “Pinnacle of Halal Excellence” (Mercu Keunggulan Halal),  akan menggabungkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini melalui platform Perdagangan Digital MADANI (MDT) bagi meningkatkan sumber masa nyata, padanan perniagaan, dan hubungan perdagangan.

Layari www.mihas.com.my untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan