IPOH, 31 Julai (Bernama) -- Edisi kedua Festival Filem Raintown menampilkan empat filem cereka yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Taiping, Perak, sekali gus mengetengahkan keunikan landskap, sejarah serta naratif budaya bandar warisan itu.
Pengasas festival Jacky Yeap berkata penganjuran festival itu bertujuan mengangkat identiti Taiping yang sering dikenali sebagai “bandar dengan 33 yang pertama” kepada sebuah destinasi seni dan budaya dengan skop yang lebih luas.
“Taiping bukan sekadar bandar bersejarah, tetapi juga sarat dengan cerita rakyat, nilai kemanusiaan serta acara seni dan inisiatif komuniti seperti Raintree Art Market oleh Ng Leong Wei dan program warisan oleh Liew Suet Fun daripada Persatuan Warisan Taiping.
“Dengan kerjasama komuniti tempatan serta sokongan kerajaan, kita mahu mengangkat Taiping sebagai kota budaya yang hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat filem cereka yang bakal dipertontonkan termasuk The Gathering, terbitan Jin Ong dan dibintangi Jack Tan, yang memaparkan keindahan pekan Taiping; The Game arahan Felix Tan yang dirakam sepenuhnya di Bukit Larut; dan filem ikonik Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid yang ditayangkan semula sempena ulang tahun ke-20 sebagai penghormatan khas.
Festival akan berlangsung dari 12 hingga 14 Sept ini di Paragon Cinema, Taiping Mall dan terbuka secara percuma kepada orang ramai.
Penganjuran festival kali ini turut disokong pelbagai rakan strategik daripada sektor awam dan swasta, dengan West Coast Expressway (WCE) tampil sebagai penaja utama.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix berkata penglibatan syarikat itu adalah sebahagian daripada usaha memelihara warisan dan menyampaikan naratif serantau di sepanjang lebuh raya yang dihubungkan.
“Taiping ialah sebuah bandar yang kaya dengan budaya, cerita dan semangat kreatif. Menyokong Festival Filem Raintown adalah salah satu cara kami meraikan identiti komuniti yang kami lalui.
“Peranan WCE bukan hanya membina jalan raya tetapi membina hubungan antara masyarakat,” katanya.
Festival turut mempersembahkan 10 filem pendek terbaik yang dipilih daripada 103 penyertaan dalam Pertandingan Filem Pendek Raintown 2025, yang bertemakan"Hujan".
Filem-filem tersebut merangkumi pelbagai genre termasuk eksperimental dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menonjolkan gelombang baharu bakat pembikin filem tempatan.
Sebanyak tujuh anugerah utama akan disampaikan pada malam penutupan festival iaitu Filem Pendek Terbaik, Anugerah Juri, Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Reka Bunyi Terbaik dan Reka Bentuk Produksi Terbaik.
-- BERNAMA