KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Setiap individu bertanggungjawab untuk menjadikan ruang pertemuan seperti sekolah, tempat kerja, premis perniagaan, rumah ibadat serta ruang digital sebagai wadah untuk memperkukuh persefahaman dan bukannya menyemai perpecahan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata rakyat di negeri itu perlu menyemai rasa tanggungjawab untuk terus memelihara keharmonian yang dinikmati pada hari ini sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang.
“Perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama adalah kekuatan sebenar negeri Sabah dan keunikan itu harus dibanggakan dan dipelihara sebagai kunci utama kepada kekuatan serta kemakmuran yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh menteri-menteri Kabinet kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri serta agensi yang terlibat.
Hajiji berkata pelancaran itu bukan hanya acara simbolik tetapi seruan untuk rakyat menghayati makna sebenar kemerdekaan, iaitu bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi juga bebas kemiskinan dan perpecahan.
Ketua Menteri itu berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan setiap Ogos adalah detik bersejarah yang mengingatkan rakyat tentang perjuangan nenek moyang mempertahankan tanah air dan maruah bangsa.
Mengulas mengenai kemajuan pembangunan negeri Sabah, beliau berkata pencapaian Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 setakat Mei lepas menunjukkan kejayaan memberangsangkan dengan purata pelaksanaan mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif yang dirancang.
Antara sektor yang terus menjadi keutamaan adalah pertanian, perindustrian dan pelancongan selain memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.
“Pelbagai bentuk bantuan rakyat turut disalurkan termasuk memperkukuh akses pendidikan serta pengenalan Skim Insurans Perlindungan Rakyat Sabah yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Sabah,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji turut melancarkan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang negeri Sabah yang akan menjelajah ke 27 daerah sejauh 2,500 kilometer selama 20 hari melibatkan 20 agensi dan 60 peserta.
-- BERNAMA