AM

PUTIN, YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA AKAN ADAKAN PERBINCANGAN BERSEJARAH DI MOSCOW 6 OGOS

02/08/2025 07:11 PM

MOSCOW, 2 Ogos (Bernama-TASS) -- Presiden Rusia Vladimir Putin akan mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, pada 6 Ogos di Moscow, yang merupakan lawatan negara buat julung kali oleh Ketua Negara Malaysia ke Rusia sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1967, lapor agensi berita TASS.

Menurut perkhidmatan berita Kremlin, pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan Rusia-Malaysia serta membincangkan perkembangan semasa serantau dan antarabangsa.

“Perbincangan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Sultan Ibrahim dijadual berlangsung pada 6 Ogos di Moscow. Kedua-dua pemimpin akan membincangkan usaha memperkukuh hubungan Rusia-Malaysia serta isu semasa serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan pada Sabtu, Istana Negara memaklumkan bahawa Sultan Ibrahim akan mengadakan lawatan negara ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos atas jemputan Putin.

Seri Paduka Baginda akan disambut Presiden Putin dalam satu Istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti perbincangan rasmi dengan Presiden Rusia dan menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan pemimpin berkenaan.

Istana Negara turut menyatakan bahawa lawatan itu mencerminkan peranan penting institusi Diraja dalam memperkasa diplomasi negara, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi, inovasi dan hubungan antara rakyat.

Memandangkan Malaysia akan mempengerusikan ASEAN pada 2025, lawatan ini juga dijangka memperkukuh kerjasama strategik dengan Rusia yang merupakan Rakan Dialog ASEAN sejak 1996.

Putin menyampaikan jemputan kepada Sultan Ibrahim semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kremlin pada 14 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan