AM

PENGALAMAN BERENANG LEBIH 48 JAM TIDAK AKAN DILUPAKAN KAPTEN KAPAL DAISY

01/08/2025 07:46 PM

Oleh Balqis Jamaludin

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos (Bernama) -- “Saya terus berenang siang dan malam... kadang-kadang keliru antara realiti dan mimpi.”

Demikian luahan pilu  Ahmet Volkan Ata 52, kapten kapal layar Daisy yang karam di perairan Pulau Yu, Selasa lalu — menyebabkan beliau terpaksa berenang lebih 48 jam tanpa henti demi menyelamatkan diri.

Dalam kejadian tragis itu, Ata hanya mampu mengapungkan diri apabila keletihan, sambil berharap munculnya bot nelayan yang dapat menyelamatkannya.

“Niat saya untuk menghampiri pantai dan cuma berdoa agar bertemu nelayan atau objek untuk berpaut. Kadang-kadang saya keliru antara realiti dan mimpi. Saya rasa seperti sedang bermimpi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurut Ata, semuanya berlaku terlalu pantas apabila kapal layar miliknya karam dalam tempoh kurang 30 saat akibat ribut kuat yang menyebabkan salah satu tingkap kapal terbuka.

Katanya beliau bersyukur kerana setelah dua hari mengharungi lautan — sehingga adakalanya berasa ingin berputus asa — akhirnya beliau ditemukan dengan kapal nelayan tempatan yang segera menyelamatkannya dan membawanya ke jeti.

“Saya sedang mengemudi kapal, dua lagi rakan saya sedang tidur. Kami sempat berenang ke permukaan... tapi hanya saya dan seorang lagi yang terselamat,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Ates Demiroren, 42, berkata beliau berenang lebih 20 jam sebelum diselamatkan bot nelayan tempatan, manakala seorang lagi rakan mereka, Eser Demirkol, masih hilang.

Menurutnya, sejurus kapal karam, beliau dan Ata berjaya berenang semula ke permukaan dan sempat berkomunikasi antara satu sama lain, namun Demirkol tidak mampu berenang dan dipercayai tenggelam bersama kapal.

“Beberapa bot melintasi saya tetapi tidak menyedari kehadiran saya. Mujur saya terlihat sebuah bot nelayan dan berenang kira-kira satu kilometer sambil menjerit meminta tolong sehingga mereka menyedari saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan membantu kedua-dua mangsa sehingga mereka selamat tiba di Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur.

“Kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan sihat, namun mungkin perlu ditahan di wad selama satu atau dua hari lagi bagi pemantauan lanjut oleh doktor kerana mereka berada lama di dalam air.

“Kita juga telah menghubungi pihak Kedutaan Turkiye dan wakil mereka dijangka tiba dalam masa terdekat bagi membantu urusan berkaitan,” katanya.

Terdahulu, tiga lelaki warga Turkiye itu memulakan pelayaran dari Malaysia ke negara asal mereka dalam misi mengelilingi benua yang bermula Isnin lepas.

Namun, pada petang Selasa, kapal mereka dilanda ribut sebelum karam di perairan Pulau Yu.

Demiroren diselamatkan tengah hari semalam, manakala Ata ditemui nelayan tempatan malam tadi — selepas lebih 48 jam terumbang-ambing di laut.

Demirkol masih belum ditemukan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan