EKONOMI

PENURUNAN KADAR TARIF AS, LANGKAH SOKONGAN FISKAL DIJANGKA BANTU PERTINGKAT KDNK MALAYSIA - RHB

01/08/2025 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kesan gabungan penurunan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) dan langkah-langkah sokongan fiskal baru-baru ini boleh menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, kata RHB Investment Bank Bhd.

Dalam nota strategi pasaran hari ini, bank pelaburan itu berkata tinjauan makroekonomi bersih Malaysia kekal positif dalam perkembangan ini, pada masa sama mengulangi unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.2 peratus.

"Risiko kini cenderung ke arah pertumbuhan KDNK 4.5 peratus," katanya.

Ia berkata pengesahan perjanjian perdagangan dan rangka kerja antara AS dengan pelbagai negara dapat menangani perdagangan global suram dan perkembangan semasa geopolitik.

“Kadar tarif Malaysia yang dikurangkan sebanyak 19 peratus adalah seiring dengan jangkaan pasaran dan sebaiknya diharapkan ia dapat ditetapkan sekitar 15 peratus.

"Dengan mudah tunai yang mencukupi, kami percaya pelabur harus lebih agresif dalam menggunakan wang tunai, memandangkan banyak berita buruk adalah dalam harga dengan pasaran yang sudah pun berdaya tahan terhadap penurunan,” katanya.

RHB Investment Bank berkata jurang antara pasaran kewangan AS dengan ekonomi sebenar kekal jelas, manakala keperluan berterusan AS untuk melaksanakan strategi ekonomi terhadap China akan menjadi sumber risiko asas untuk pasaran baru muncul.

“Pasaran ekuiti domestik akan terus menjadi reaktif kepada perkembangan semasa perdagangan global dan makroekonomi tetapi kami percaya prestasi rendah pasaran secara relatif pada 2025 telah menjejaskan kebanyakan risiko.

“Pada pandangan kami, tim­bunan wang tunai yang tidak dilaburkan semakin bertambah akan membantu mengehadkan risiko penurunan pasaran, manakala langkah-langkah sokongan fiskal baru-baru ini termasuk penurunan kadar dasar semalaman secara preemptif akan memacu pertumbuhan jangka pendek,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata ia meletakkan sasaran akhir 2025 FTSE Bursa Malaysia KLCI di bawah kajian semula, laporan suku Jun akan dikeluarkan kelak.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan