KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada 19 peratus yang dikenakan ke atas import Malaysia, walaupun tidak setinggi yang diharapkan, masih memberi kelegaan berikutan tekanan kenaikan kos yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya yang terlibat dalam sektor pembuatan, perabot, tekstil dan eksport makanan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata pengurangan itu menawarkan ruang persaingan yang lebih seimbang dan lonjakan daya saing yang sangat diperlukan.
"Sekiranya, kadar tarif itu kekal bagi tempoh jangka sederhana, ia dapat memulihkan keyakinan dalam kalangan pengeksport ketika permintaan global masih tidak menentu.
“Bagaimanapun, ini bukan masanya untuk kita berasa selesa. Kami menggesa kerajaan untuk mempercepatkan sokongan kepada PKS yang ingin menembusi semula atau mengembangkan pasaran mereka ke AS, termasuk insentif untuk pematuhan terhadap piawaian AS dan keperluan kemampanan AS serta meningkatkan penyertaan PKS dalam program promosi perdagangan dan misi eksport.
“Kita juga mesti melipatgandakan usaha untuk mempelbagaikan destinasi eksport kita, sambil mempercepatkan pendigitalan rantaian bekalan dan kesiapsiagaan pensijilan, terutamanya bagi sektor bernilai tinggi serta strategik,” kata Ng dalam satu kenyataan hari ini.
AS telah mengenakan pengurangan tarif sebanyak 19 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos 2025, penurunan berbanding 25 peratus sebelumnya.
Sementara itu, Ng memuji kejayaan kerajaan dalam mendapatkan pengurangan tarif AS ke atas barangan Malaysia kepada 19 peratus, dan menyifatkan ia sebagai ‘pencapaian penting dalam hubungan perdagangan dengan ekonomi terbesar dunia’.
Beliau berkata perkembangan positif itu membuktikan kepimpinan kukuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ‘usaha gigih’ Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia sambil terus berunding secara pragmatik dengan rakan kongsi global kita telah membuahkan hasil,” katanya.
-- BERNAMA