DUNIA

PRESTASI NIAGA HADAPAN EMAS AKAN CERMINKAN RESPON PASARAN TERHADAP PENDIRIAN FOMC, TARIF AS

02/08/2025 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka akan mengambil petunjuk daripada emas COMEX Amerika Syarikat (AS) dalam persekitaran respons pasaran terhadap pendirian terbaharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan tarif baharu AS ke atas rakan dagangan.

RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata selagi emas COMEX AS kekal berada di atas paras sokongan US$3,150 setiap auns troy, struktur kenaikan harga yang lebih luas akan kekal kukuh.

“Kami akan mengunjurkan kecenderungan dagangan yang positif, melainkan komoditi itu jatuh di bawah paras sokongan US$3,150 setiap auns troy,” katanya.

RHB Investment Bank mengesyorkan supaya peniaga tidak menjual aset yang mereka beli pada penutupan 12 Jun (US$3,402.40 setiap auns troy).

"Untuk meminimumkan risiko dagangan, ambang henti rugi ditetapkan pada US$3,150 setiap auns troy. Sokongan pertama ditandakan pada US$3,250 setiap auns troy, diikuti dengan US$3,150 setiap auns troy auns seperti dinyatakan di atas. Sebaliknya, paras rintangan serta-merta ditetapkan pada US$3,450, diikuti US$3,600 setiap troy auns,” katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Ogos 2025 susut kepada US$3,310.40 setiap auns troy daripada US$3,367.40 minggu sebelumnya, September 2025 jatuh kepada US$3,316.30 setiap auns troy daripada US$3,373.30 sebelum itu manakala Oktober berkurangan kepada US$3,345.40 setiap auns troy daripada US$3,402.60 sebelum ini.

Bagaimanapun, November 2025 berada pada US$3,362.80 setiap auns troy, manakala Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 masing-masing merosot kepada US$3,380.20 setiapi auns troy daripada US$3,402.60 sebelumnya.

Dalam pada itu, jumlah dagangan turun kepada 129 lot daripada 151 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 29 kontrak daripada 71 kontrak.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 31 Julai, 2025 harga emas fizikal berada pada US$3,298.85 setiap auns troy.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan