AM

INTEGRITI, AKAUNTABILITI TONGGAK UTAMA PELAKSANAAN RMK13 - KPPA

02/08/2025 11:07 AM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Elemen integriti dan akauntabiliti akan menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), seiring usaha kerajaan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam melalui pendekatan yang lebih telus.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Negara pada Mac lepas, akan menjadi instrumen utama kepada budaya tatakelola baharu dengan penekanan terhadap pemantauan, penilaian dan ketelusan dalam setiap pelaksanaan dasar kerajaan.

"Kita akan memantapkan lagi pemantauan terhadap projek pembangunan (di bawah RMK13), begitu juga dengan bagaimana kita hendak memastikan sistem penyampaian kepada rakyat lebih tersusun.

“Ini boleh kita lakukan melalui Akta Iltizam yang telah diluluskan dan akta ini juga akan mengambil tempatnya untuk kita menilai sesebuah kementerian, jabatan dan agensi yang ada," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) 2025 Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.  

Wan Ahmad Dahlan berkata penjawat awam turut menzahirkan komitmen untuk melaksanakan segala inisiatif dan dasar digariskan dalam RMK13 yang telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

"Penjawat awam sentiasa bersedia untuk menyambut apa jua yang terkandung dalam naskhah RMK13 tersebut.

"Pemantauan akan dilakukan dengan cara pimpinan turun padang dan melihat bagaimana perkara itu dijalankan serta menerusi pelaporan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat yang ditetapkan nanti," katanya.

Beliau berkata seluruh penjawat awam akan terus berganding bahu dalam memastikan segala sasaran pembangunan yang digariskan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Langkah menambah baik tatakelola dan memperkukuh tadbir urus menerusi RMK13 menyumbang secara langsung kepada pencapaian aspirasi Kerajaan MADANI untuk meletakkan Malaysia di tangga 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi, penekanan untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memantapkan pengurusan fiskal itu juga menyasarkan Malaysia berada di kedudukan 12 teratas dalam IMD World Competitiveness Yearbook.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan 12,000 peserta menyertai Larian MAPPA XX 2025 iaitu acara berimpak tinggi yang mengangkat semangat kebersamaan antara pemimpin negara, pegawai awam dan rakyat.

Larian MAPPA XX 2025 adalah usaha berterusan memperkukuh nilai Malaysia MADANI iaitu keterangkuman, hormat, ihsan, dan kesejahteraan dalam landskap perkhidmatan awam yang responsif dan berjiwa rakyat.

Acara pelepasan peserta yang disempurnakan bersama oleh Shamsul Azri dan Wan Ahmad Dahlan, menjadi simbolik kepada permulaan budaya sihat berskala besar dalam sektor awam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan