AM

MALAYSIA TUAN RUMAH FORUM PENGAIRAN DUNIA, PENGIKTIRAFAN KEPADA NEGARA

02/08/2025 01:33 PM

KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah dalam penganjuran Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 merupakan pengiktirafan kepada negara dalam bidang pengairan, saliran pertanian serta pengurusan sumber air.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata acara bertaraf antarabangsa itu bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 7 hingga 13 Sept ini.

"Sebagai satu daripada acara berprestij dalam WIF4, Mesyuarat Peringkat Tinggi Kumpulan Penasihat akan turut diadakan dengan kehadiran pemimpin utama, pakar teknikal dan pembuat dasar dari 24 negara. 

"Mesyuarat ini berfungsi sebagai platform strategik untuk membincangkan isu kritikal berkaitan masa depan sektor pengairan global, termasuk cabaran perubahan iklim, ketahanan air untuk pertanian serta keperluan pemodenan sistem pengairan secara mampan.

"Hasil daripada mesyuarat ini dijangka merumuskan saranan dasar dan hala tuju global yang akan memperkukuh peranan pengairan dalam menjamin sekuriti makanan dunia," katanya dalam ucapan pada Majlis Pra Peluncuran WIF4 dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Yuslina Mohd Sani.

Mohamad berkata forum itu dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada wakil kerajaan, institusi penyelidikan, organisasi antarabangsa, sektor swasta serta komuniti tani dari lebih 30 negara, dengan lebih 100 pembentangan merangkumi perbincangan menyeluruh berasaskan keempat-empat sub-tema forum.

Beliau berkata tema forum kali ini, iaitu “Is Irrigation a Sunset Industry?” sangat signifikan untuk menilai semula kedudukan dan masa depan sektor pengairan dalam era perubahan iklim dan teknologi digital.

"Tema ini bukan sahaja membuka ruang untuk perbincangan kritikal tetapi juga menggalakkan kita mencari pendekatan dan inovasi baharu agar sektor pengairan terus relevan, produktif dan mampan.

"Forum ini juga dijangka menjadi platform penting untuk kita berkongsi amalan terbaik dan belajar daripada pengalaman antarabangsa dalam usaha memperkukuh sektor pengairan negara," katanya.

Tambah beliau WIF4 menyediakan platform strategik untuk membina jambatan antara pengalaman lapangan dan penyelidikan saintifik selain memupuk kerjasama antarabangsa yang kukuh.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru semua peserta termasuk pembuat dasar, penyelidik, jurutera, dan usahawan tani mengambil inisiatif membangunkan rangkaian kerjasama yang teguh demi mempercepatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Beliau turut meminta mereka memanfaatkan peluang itu untuk meneliti dan menerapkan teknologi terkini serta amalan inovatif yang mampu meningkatkan ketepatan serta keberkesanan pengairan, selain menjayakan dialog terbuka yang konstruktif agar dapat merangka cadangan dasar dan langkah praktikal yang sesuai untuk memenuhi cabaran masa depan.

“KPKM mengambil langkah proaktif dalam mentransformasi sektor pengairan dengan memperkenalkan teknologi moden seperti pertanian tepat, penggunaan Internet benda (IoT) dalam sistem pengairan pintar dan pendekatan menyeluruh dalam pengurusan sumber air secara lestari bagi sektor pengairan, saliran pertanian, dan sumber air kepada pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya.

  -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan