KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Terkejut dan menggigil, itu reaksi isteri kepada anggota polis yang ditikam seorang lelaki di Pasar Pudu, Jalan Yew, di sini pada Khamis lepas, sebaik sahaja menerima panggilan daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Norfazliana Osman, 35, berkata dia yang ketika itu berada di rumah di Kuarters Polis Pudu mendapat panggilan berkenaan daripada hospital itu yang meminta kebenaran untuk menjalankan pembedahan di bahagian perut suaminya yang cedera akibat ditikam.
"Hospital telefon dalam pukul 1 tengah hari kerana mereka hendak melakukan pembedahan dengan segera dan meminta kebenaran kerana mungkin sebahagian usus suami perlu dibuang akibat terkena tikaman berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini hari ini.
Menurut ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 11 dan tujuh tahun itu, suaminya kini dalam keadaan stabil bagaimanapun masih lemah dan perlu menggunakan ubat penahan sakit.
Norfazliana berkata walaupun sedia maklum dengan risiko serta cabaran tugas suaminya sebagai seorang anggota polis, sebagai isteri, perasaan bimbang dan takut tetap ada.
“Saya tidak pasti berapa lama lagi suami akan berada di hospital. Anak-anak juga tahu keadaan ayah mereka,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan masa menziarahi Kpl Mohd Nadzri Sudiman yang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohd Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan.
Pada Khamis, media melaporkan seorang anggota polis cedera parah selepas ditikam menggunakan pisau di bahagian perut oleh seorang lelaki ketika menjalankan rondaan cegah jenayah bersama-sama empat anggota polis lain.
Suspek lelaki tempatan berumur 56 tahun itu ditahan sejurus selepas kejadian dan direman hingga Khamis depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh menggunakan senjata dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA