AM

100 KUBUR DI KAMPUNG PENGKALAN MARAS BERISIKO HANYUT DIPINDAHKAN MULAI HARI INI

02/08/2025 04:04 PM

KUALA NERUS, 2 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 100 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras di Batu Rakit dekat sini dipindahkan secara berperingkat mulai hari ini, kerana berisiko hanyut ekoran hakisan pantai.

Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata kerja-kerja pengalihan kubur yang kini telah terletak terlalu hampir dengan pantai, diluluskan oleh pihaknya dan dilaksanakan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus, dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Pejabat Daerah Kuala Nerus, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Maras serta bantuan daripada penduduk kampung.

“Tiada masalah untuk mengalihkan kubur-kubur yang berisiko, kerana ia akan membawa masalah yang lebih besar sekiranya tidak dipindahkan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Mohamad Sabri berkata kerja-kerja pengalihan kubur-kubur terlibat ke lokasi baharu iaitu Tanah Perkuburan Islam Hajar Kampung Gong Awang Lib, yang terletak kira-kira dua kilometer dari tanah perkuburan asal, akan disiapkan secepat mungkin sebelum musim tengkujuh nanti. 

“Sebolehnya kita buat secepat mungkin sebelum berlaku hakisan lebih teruk pada musim tengkujuh, kerana bimbang ada kubur yang akan hanyut lagi, tetapi bergantung juga kepada situasi seperti cuaca dan sebagainya,” katanya.

Pada hujung November tahun lepas, lima jenazah termasuk tiga yang masih berbalut dengan kain kafan di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras, terpaksa dikebumikan semula selepas dihanyutkan ombak ekoran hakisan pantai.

Dalam pada itu Norhayati Sulaiman, 51, berkata beliau bersyukur kerana kerisauannya selama ini berakhir apabila kubur ayahnya Allahyarham Sulaiman Jusoh yang meninggal dunia pada 2010 akibat sakit tua, dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.

“Sejak setahun dua ini walaupun bukan pada musim tengkujuh, apabila saya melawat kubur arwah ayah, saya akan rasa muka terkena percikan air pantai. Kubur arwah ayah hanya terletak kira-kira dua meter sahaja dari pantai, jadi perkara itu amat meresahkan saya selama ini,” kata suri rumah itu.

Beliau juga bersyukur dan berterima kasih atas keperihatinan semua pihak yang menggembleng tenaga dalam memindahkan kubur-kubur berisiko termasuk kubur arwah ayahnya itu.

Laila Othman, 57, pula berkata meskipun masalah hakisan pantai di tanah perkuburan tersebut dianggap musibah oleh segelintir pihak, namun beliau bersyukur kerana dapat melepaskan kerinduan apabila melihat sendiri proses pemindahan kubur suaminya hari ini.

“Alhamdulillah hari ini saya rasa seolah-olah Allah S.W.T memberi keizinan untuk ‘jumpa’ semula arwah suami Mustafa Adong yang meninggal dunia pada 20 Dis 2012 akibat kencing manis, walaupun dalam keadaan berbeza,” kata kakitangan kerajaan negeri itu.

Sementara itu tinjauan Bernama di tanah perkuburan yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu mendapati, setakat 12 tengah hari tadi sebanyak lima jenazah telah berjaya dikeluarkan untuk dipindahkan ke lokasi perkuburan yang baharu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan