SUKAN

BERNAMA ACES NAIB JUARA KATEGORI MEDIA KEJOHANAN PICKLEBALL LINING TIGA SAGA

02/08/2025 04:25 PM

 

SHAH ALAM, 2 Ogos (Bernama) -– Pasukan BERNAMA Aces muncul naib juara kategori media Kejohanan Pickleball Lining Tiga Saga selepas tewas dalam aksi sengit kepada pasukan New Straits Times (NST) dalam perlawanan tiga set, hari ini.

BERNAMA Aces diwakili oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah, Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif, manakala pasukan Kitchen Warriors dari NST dibarisi Mohd Aswadi Alias, Abdul Razak Raaff dan Muhamad Rohaizam Latib.

Aidil Syukri ketika ditemui selepas perlawanan berkata pasukannya telah memberikan persembahan terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Kami dah cuba yang terbaik, cuma nasib tidak menyebelahi kami. Kami akan kembali dengan lebih kuat pada kejohanan akan datang. Apapun saya berpuas hati dengan pencapaian kami hari ini,” katanya.

Sementara itu, Nazrin Arif mengakui kekalahan itu mungkin berpunca daripada kegagalan mereka mengekalkan rentak permainan sendiri.

"Kami dah cuba yang terbaik. Tahniah kepada lawan kami. Kami tewas hari ini mungkin kerana terikut-ikut rentak lawan dan gagal menampilkan aksi sebenar kami. Apapun terima kasih kepada rakan sepasukan yang telah memberikan yang terbaik,” katanya.

Ahmad Syabil pula menyatakan bahawa kesilapan mudah memberi kesan kepada prestasi mereka dalam perlawanan itu.
"Setuju kami terikut permainan lawan. Kami juga melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang tidak sepatutnya yang sedikit sebanyak menjejaskan momentum kami,” katanya.

Untuk rekod, BERNAMA Aces sebelum ini pernah menjuarai Kejohanan Cabaran DRB-HICOM, sekali gus menunjukkan konsistensi pasukan. 

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan